KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu, Selangor, Lee Kee Hiong meninggal dunia akibat kanser pagi tadi.

Berita kematian Adun DAP itu disahkan oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dalam satu kenyataan pada Khamis.


“Pemergian beliau adalah kehilangan besar kepada pelbagai pihak dan pasti dirasai terutamanya oleh penduduk Kuala Kubu Baharu yang sudah lama diwakili dan dibantu oleh Puan Lee Kee Hiong sejak sebelum dia menjadi wakil rakyat.

“Mewakili Kerajaan Perpaduan Negeri Selangor, saya mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Puan Lee Kee Hiong, serta seluruh sahabat dan anggota di dalam Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang kehilangan tokoh berpengalaman.

“Semoga mereka diberikan kekuatan mengharungi detik yang mencabar ini.,” kata Amirudin.

Mendiang berusia 58 tahun dan dikatakan telah bergelut melawan kanser sejak beberapa tahun lalu.

Kee Hiong adalah wakil rakyat DUN Kuala Kubu Baharu sejak 2013 dan ini adalah penggal ketiganya selepas mengekalkan kerusi itu pada pilihan raya negeri Selangor 2023.