KUALA LUMPUR: Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi, Datuk Seri Dr Adham Baba hari ini berkongsi mesej penting berkenaan perjalanan rentas negeri kepada orang ramai, menerusi TikTok.

Beliau yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) menyarankan orang ramai melakukan ujian saringan kendiri sebelum pulang ke kampung bertemu keluarga.

"Jangan lupa buat ujian saringan kendiri dahulu. Patuhi SOP, ok?," katanya dalam pesanan video berdurasi sembilan saat itu.



Menjengah ke ruangan komen, ramai yang memuji inisiatif Dr Adham menggunakan medium pilihan anak muda seperti TikTok untuk memberi peringatan.

Rata-ratanya juga bersetuju ujian saringan kendiri seeloknya dilakukan, demi menjaga keselamatan dan kesihatan diri sendiri dan keluarga.

Kerajaan tidak mewajibkan ujian saringan COVID-19 dijalankan untuk tujuan rentas negeri termasuk balik kampung.

Namun Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka yang mahu pulang ke kampung digalakkan melakukan ujian saringan termasuk secara Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) atau Rapid Test Kit (RTK) Antigen dan secara kendiri.