Operasi mencari dan menyelamat saki-baki warga Indonesia mangsa tongkang karam dekat Banting pada awal pagi Rabu akan diteruskan pada Khamis dengan operasi di laut dan tinjauan melalui udara.

Operasi akan turut disertai oleh pasukan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia APMM Johor.

Pihak berkuasa bagaimanapun tidak menolak kemungkinan ada mangsa yang barangkali terselamat dan bersembunyi kerana takut berdepan dengan tindakan undang-undang.

"Jarak lokasi kejadian dari daratan adalah kira-kira 200 hingga 300 meter. Kemungkinan ada mangsa yang menyelamatkan diri ke daratan untuk melarikan diri kerana bimbang dikenakan tindakan. Lokasi bot itu karam sangat dekat dengan daratan," kata Pengarah Operasi APMM Klang, Leftenan Komander Maritim Mohd Hambali Yaakup seperti dipetik oleh Bernama.

Tragedi itu berlaku selepas tengah malam Selasa dekat muara Kuala Sungai Langat, Pulau Carey.

Kebanyakan mangsa dipercayai tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah atau telah menyalahgunakan dokumen perjalanan dan menetap secara haram selepas luput tempoh kebenaran tinggal di negara ini.

Sehingga malam tadi, sembilan mayat ditemui; tujuh lelaki dan dua wanita. Semua mayat dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Rahimah di Klang untuk bedah siasat.

Pihak berkuasa percaya ada kemungkinan lebih banyak mayat akan ditemui sekiranya mangsa yang terselamat tidak sampai ke darat kerana kebiasaannya mereka yang terapung di laut tanpa jaket keselamatan hanya boleh bertahan dalam tempoh 24 jam.

Foto-foto sekitar operasi mencari dan menyelamat

Sejumlah 62 orang terselamat termasuk seorang yang ditahan polis kerana cuba melarikan diri.


Semua mangsa yang selamat yang ditahan di Balai Polis Telok Panglima Garang, Banting telah dipindahkan ke ibu pejabat polis daerah Kuala Langat.

Mereka terdiri daripada 23 lelaki dan 8 wanita, termasuk seorang wanita yang mengandung 2 bulan. Mereka dibawa ke Kuala Langat bagi tujuan dokumentasi dan juga untuk disoal siasat.


Menurut Mohd Hambali, mangsa yang selamat tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan boleh didakwa di bawah Akta Imigresen. Tekong tongkang berkenaan pula boleh dikenakan tindakan di bawah akta sama dan Akta Anti Pemerdagangan Orang.

Siasatan awal mendapati, tongkang itu dalam perjalanan dari negara ini ke Aceh. Punca sebenar kejadian masih disiasat tetapi pihak berkuasa percaya ada kemungkinan ia karam kerana terlebih muatan, kebocoran atau terlanggar beting pasir.

Warga Indonesia yang masuk ke negara ini serta tinggal secara haram dilaporkan memilih untuk menaiki tongkang kerana ia menjimatkan walaupun ia mempunyai risiko yang bahaya.

Sementara itu, kerajaan Indonesia meminta semua warganya yang tinggal secara haram di negara ini agar tidak menggunakan perkhidmatan tekong untuk kembali ke tanah air. Mereka dinasihatkan pulang menggunakan cara yang sah, hasil kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan negara itu.


Malaysia dalam pada itu terus komited mencari semua mangsa yang masih hilang walaupun mereka dipercayai pendatang asing tanpa izin.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjelaskan, Kuala Lumpur sedang bekerjasama pihak berkuasa Indonesia bagi mengenal pasti semua indentiti mangsa terlibat.