SUDAH hampir sebulan rakyat Malaysia berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Jumlah kes positif COVID-19 masih meningkat lebih 100 kes setiap hari.
Purata kes positif harian dalam PKP fasa 2 setakat ini juga sebenarnya lebih tinggi berbanding fasa 1 (Nota 1).
Namun, ini mungkin disebabkan peningkatan ujian saringan yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Seperti mana dituntut oleh warga perubatan yang lain, saya berharap agar KKM menerbitkan data ujian saringan secara terperinci setiap hari.
Walau bagaimanapun setakat yang kita ada, Malaysia telah mencatatkan kadar kesembuhan antara yang terbaik di dunia iaitu, 45.01 peratus.
Di peringkat negeri pula, kadar kesembuhan menjadi lebih tinggi. Contohnya, tiga buah negeri mempunyai kadar kesembuhan yang melebihi 80 peratus iaitu Kelantan 83.55 peratus, Selangor 82.61 peratus dan Pulau Pinang 81 peratus.
Syabas diucapkan kepada warga KKM yang bekerja keras memastikan kesihatan dan keselamatan rakyat Malaysia.
Namun, ada juga negeri-negeri yang mempunyai kadar kesembuhan yang lebih rendah dari kadar kebangsaan, malah lebih rendah dari kadar sedunia, iaitu di bawah 20 peratus.
Dalam kita memasuki PKP fasa 3, persoalannya, adakah Malaysia sudah bersedia untuk melonggarkan kawalan pergerakan?
Dua pertimbangan utama membuat keputusan tentang PKP: statistik dan sistem.
Dengan pengumuman bahawa beberapa sektor industri dan perniagaan bakal dibenarkan beroperasi, kerajaan perlu memberi perhatian kepada dua syarat yang penting sebelum membuat keputusan untuk menamat mahupun melonggarkan PKP.
Dua syarat ini saya rumuskan sebagai:
1) statistik, dan
2) sistem.
Pertama, kita perlu melihat kepada statistik COVID-19 masa kini; adakah pola ataupun perkembangan menunjukkan wabak sudah terkawal? Dalam kata lain, adakah lengkung wabak sudah diratakan (flatten the curve)?
Kedua, kita perlu memastikan kesiapsiagaan sistem untuk berdepan dengan kes baharu selepas PKP berakhir ataupun dilonggarkan; adakah sistem kita mampu untuk mencegah, mengesan dan menguruskan kes COVID-19 dengan pantas jika kes baru muncul selepas PKP?
Dalam kata lain, kita perlu memastikan statistik jangkitan jatuh rendah manakala kesiapsiagaan sistem yang tinggi bagi membolehkan PKP dilonggarkan.
Situasi Malaysia: Statistik masih tinggi, kesiapsiagaan sistem masih rendah
Jika dilihat dari graf PKP fasa 2, purata peningkatan kes harian lebih tinggi daripada Fasa 1.
Malah kapasiti setiap negeri dan wilayah berlainan nampaknya berbeza-beza, berdasarkan kadar merebak dan kadar kesembuhan yang dicatatkan setakat ini.
Ini bermaksud secara keseluruhannya, kita masih belum bersedia.
Namun, ada yang telah mencadangkan agar kerajaan mengambil tindakan berpandukan situasi tempatan.
Contohnya, PKP di daerah zon hijau boleh dilonggarkan sekiranya tiada kes baharu selepas tempoh tentu.
Strategi ini boleh dipertimbangkan sekiranya syarat kedua, iaitu kesiapsiagaan sistem, sudahpun dipenuhi.
Kerajaan perlu memastikan agar jika kes baharu timbul, kita akan mempunyai kemampuan untuk mengesan kontak dengan pantas, membuat saringan dan melaksanakan kuarantin untuk memutuskan rantai perebakan dengan serta-merta.
Kerajaan perlu mengenalpasti sama ada peralatan, kemudahan termasuk pusat saringan, unit rawatan rapi (ICU) dan pusat kuarantin serta tenaga kerja mencukupi.
Kini sudah lebih dua bulan warga barisan hadapan terutamanya di hospital dan klinik kerajaan bekerja keras melawan wabak ini.
Antara soalan yang penting ialah, adakah mereka mampu untuk dikerahkan semula sekiranya berlaku gelombang seterusnya?
Saya juga perhatikan bahawa kadar penggunaan teknologi dalam kempen melawan COVID-19 di negara kita agak rendah.
Contohnya, dalam aspek pemantauan kuarantin kendiri, sehingga minggu lepas, negeri Sarawak menggunakan teknologi aplikasi pintar, manakala di tempat-tempat lain, pemantauan masih dibuat secara manual.
Pengesanan kontak juga dilakukan secara manual walaupun di beberapa buah negara lain termasuk Singapura, teknologi digunakan untuk membantu dalam aspek ini.
Jika PKP dilonggarkan ataupun ditamatkan, langkah-langkah kesihatan awam masih perlu dipatuhi dengan tegas untuk tempoh tiga sehingga enam bulan.
Contohnya, adakah kita mempunyai mekanisme untuk memastikan penjarakan sosial di tempat awam, di sekolah, di pejabat, di pasar awam dan sebagainya?
Adakah kita mempunyai peralatan seperti termometer infra merah yang berkesan dalam jumlah yang mencukupi untuk digunakan di tempat-tempat ini, terutamanya di sekolah-sekolah bagi memastikan saringan gejala Covid-19?
Kerajaan Pulau Pinang sebelum ini telah menggesa kerajaan pusat memperkenalkan protokol EHS COVID-19 (COVID-19 Environment, Health and Safety protocol) yang baharu bagi pelaksanaan terutamanya di sektor industri.
Kita tidak boleh mengambil risiko membiarkan kilang-kilang dan premis-premis perniagaan menggunakan piawaian yang tidak berkesan, seperti mana KKM terdahulunya telah menyatakan bahawa pembasmian kuman di jalan raya tidak berkesan melawan COVID-19, dan merupakan pembaziran sumber.
Kesimpulannya, secara amnya, adakah negara kita sudah bersiap sedia untuk berdepan situasi 'Next Normal'?
Daripada laporan-laporan sedia ada, kita boleh lihat bahawa statistik jangkitan masih tinggi manakala kesiapsiagaan sistem kita masih rendah.
Fokus kepada melawan wabak dan meratakan lengkung pada masa kini adalah teramat penting sekali. Namun, kerajaan tidak boleh terhenti setakat itu sahaja.
Kerajaan perlu mengemukakan satu strategi keluar yang menyeluruh bermula sekarang. Kerangka pemikiran strategi kerajaan tidak boleh terhad kepada pengumuman harian menteri-menteri, tetapi perlu diperluaskan kepada strategi 'Next Normal'.
Jika kita gagal untuk merancang, maka samalah dengan kita merancang untuk gagal.
(Nota 1: Semua data berkaitan Covid-19 dalam artikel ini adalah berpandukan statistik KKM setakat 12 April 2020)
* Steven Sim merupakan Ahli Parlimen Bukit Mertajam dan Pengarah Kempen "Penang Lawan Covid-19" yang bertanggungjawab dalam komunikasi dan pemberdayaan masyarakat.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pandangan Astro AWANI.
Steven Sim
Mon Apr 13 2020
Kita perlu memastikan kesiapsiagaan sistem untuk berdepan dengan kes baharu selepas PKP berakhir ataupun dilonggarkan. Gambar hiasan
Macron gesa penghantaran senjata ke Israel dihentikan
Presiden Perancis Emmanuel Macron menggesa agar penghantaran senjata ke Israel dihentikan berikutan operasi ketenteraannya di Gaza yang lebih setahun telah membunuh hampir 42,000 orang dan mencederakan kira-kira 97,000 yang lain.
Suspek bunuh bapa sempat beli pisau lipat sebelum ditemui rebah
Lelaki OKU mental yang didakwa membunuh bapanya di rumah mereka di Kampung Senaling Kuala Pilah sempat membeli pisau lipat di sebuah kedai sebelum tiba-tiba rebah.
Dua PPS baharu dibuka di Daerah Hulu Perak
Dua lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) menempatkan mangsa banjir dibuka pada Ahad bagi menempatkan mangsa banjir Daerah Hulu Perak.
[TERKINI] PM tegur kelompok elit taksub Bahasa Inggeris
PM tegur segelintir kelompok elit yang taksub dengan Bahasa Inggeris sehingga meremehkan penggunaan Bahasa Melayu, bahasa kebangsaan negara.
Larian Antarabangsa: Polis tahan 3 lelaki disyaki berkelakuan tak senonoh, lucah
Polis menahan tiga lelaki disyaki berkelakuan tidak senonoh dan lucah ketika program Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 di Kota Tinggi, pada Sabtu.
Elak penganjuran program cetus polemik, gugat Islam - Mohd Na'im
Sebarang acara atau program yang boleh mencetuskan polemik dan menggugat kedaulatan agama Islam perlu dielakkan sama sekali.
Sabah akan dapat tempat utama dalam Belanjawan 2025 - Rafizi
Sabah dijangka akan terus mendapat tempat paling utama menerusi peruntukan dalam Belanjawan 2025 yang dijadual akan dibentang pada 18 Oktober ini.
Belanjawan 2025: Pembangunan infrastruktur, pelepasan cukai bantu tingkat keselamatan siber
Pembangunan infrastruktur keselamatan siber serta insentif pelepasan cukai berkaitan antara aspek yang diharapkan menjadi tumpuan kerajaan pada Belanjawan 2025.
PM Anwar tegur kelompok elit taksub Bahasa Inggeris, fobia bahasa kebangsaan
Perdana Menteri menegur segelintir kelompok elit yang taksub dengan Bahasa Inggeris sehingga meremehkan penggunaan Bahasa Melayu, bahasa kebangsaan negara.
Elak penganjuran program cetus polemik, gugat Islam - Mohd Na'im
Sebarang acara atau program yang boleh mencetuskan polemik dan menggugat kedaulatan agama Islam perlu dielakkan sama sekali.
Faisal Halim teruja jalani fisioterapi untuk kembali beraksi
Pemain Selangor FC Muhammad Faisal Abdul Halim sangat teruja untuk menjalani rawatan fisioterapi agar dapat segera kembali beraksi seperti sediakala.
Adakah Malaysia bersedia untuk melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan?
Dalam kita memasuki PKP fasa 3, persoalannya, adakah Malaysia sudah bersedia untuk melonggarkan kawalan pergerakan?