KUALA LUMPUR: Pengalaman menyaksikan sendiri seorang pesakit 'tumbang' ketika menanti untuk dinilai tidak dapat dilupakan bagi seorang sukarelawan Pasukan Respons Dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET).

Biarpun cemas, namun itulah situasi yang perlu dihadapi petugas di Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di Stadium Malawati, sekali gus memberi bayangan situasi kritikal pandemik COVID-19 di negara ketika ini.

Bangun seawal jam 5 pagi menjadi rutin Omar Ashraf Albakry sejak memulakan tugas 17 Mei lalu.

Dia yang tinggal di Batu Caves, merupakan salah seorang daripada kira-kira 200 orang sukarelawan perubatan dan bukan perubatan IMARET

Omar sudah terbiasa melakukan kerja-kerja sukarelawan sejak di bangku sekolah, namun apa yang dihadapi kini cukup berbeza dengan pengalaman sebelumnya.

"Sebelum ini, kita biasa dapat dalam 900 pesakit sehari, tetapi sejak akhir-akhir ini, jumlahnya meningkat kepada 2,000 sehari.

"Kebanyakan yang datang berada dalam kategori 1 dan 2, tetapi ada juga yang datang sudah kategori 4 atau 5.

"Mereka ini kebiasaannya simpan sakit dan hanya datang apabila sudah teruk. Ada satu kes, lelaki berusia 30an, terus 'tumbang' di hadapan kami," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, pada Khamis.

Berhadapan dengan jumlah pesakit yang begitu ramai setiap hari sememangnya memerlukan ketahanan fizikal dan mental.

Namun bagi Omar, dia melakukannya atas niat kerana Allah dan mahu membantu petugas kesihatan yang semakin keletihan.

"Tak ada rahsia, saya cuma mahu membantu. Niatkan kerana Allah.

"Lagipun, petugas kesihatan kita sudah kepenatan dan mereka memerlukan bantuan," ujarnya.

Jika ada yang masih beranggapan COVID-19 hanya sekadar agenda rekaan mana-mana pihak, ini nasihat Omar untuk anda.

"COVID-19 bukan perkara main-main. Pernah ada satu kes, seorang pakcik berusia 79 tahun, nampak sihat, datang ke CAC.

"Tetapi apabila penilaian dibuat, dia sebenarnya sudah berada di tahap kritikal dan sudah tiada peluang untuk sembuh.

"Jadi tolonglah, jangan keluar kalau tak ada keperluan," tegasnya.

IMARET menghantar sukarelawan perubatan dan bukan perubatan ke tiga daerah iaitu Petaling, Hulu Langat dan Gombak.

Pendaftaran sebagai sukarelawan dibuka setiap minggu dan mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat di laman sosial IMARET.

 
Sumber Facebook imamresponseandrelief