KAJANG: Abang tiri kepada mangsa kanak-kanak berusia empat tahun yang mati lemas ketika mandi di kolam renang sebuah pangsapuri di Bangi pada 13 September lalu direman enam hari mulai hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata suspek yang berusia 26 tahun itu ditahan reman hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan.

Menurutnya, suspek ditahan selepas polis meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian yang baru sahaja dapat diakses susulan masalah teknikal.

Beliau memberitahu, pada awalnya, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut (SDR).

"Namun selepas polis meneliti CCTV, kita mendapati ketika kejadian, suspek yang juga abang tiri mangsa dilihat leka melakukan sesuatu sambil melihat saja mangsa yang sedang lemas di kolam renang tanpa bertindak melakukan sesuatu untuk menyelamatkannya," katanya dalam kenyataan, di sini, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Mohd Zaid berkata, polis menerima daripada pegawai perubatan Hospital Serdang yang menerima mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 13 September lalu.

"Siasatan mendapati dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, mangsa maut selepas dipercayai lemas ketika mandi di apartmen itu sebelum dibawa ke klinik dan kemudian dirujuk ke Hospital Serdang bagi rawatan selanjutnya.

"Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada pukul 1.11 tengah hari pada keesokan harinya.

"Kes disiasat dan diklasifikasi mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001," kata Mohd Zaid lagi.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat kes itu, Inspektor Muhammad Azrul Nizam Zainal Abidin di talian 016-9985730 dengan segera bagi membantu siasatan.