KUCHING: Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg tiba di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Ahad bagi Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP 28).

Pada persidangan itu, beliau dijadualkan menyaksikan majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara InvestSarawak dan Surbana Jurong Pte Ltd.

Menurut catatan di laman Facebook rasmi kerajaan Sarawak, Sarawakku malam tadi, MOU berkenaan menandakan kerjasama antara kedua-dua pihak bagi inisiatif ekonomi hijau di negeri berkenaan.

"Kerjasama itu termasuk transformasi industri, peralihan tenaga, penyahkarbonan industri, penggunaan dan penyimpanan pemerangkapan karbon (CCUS), penyahkarbonan serta pembangunan dan pengurusan taman perindustrian," katanya.

Pada Rabu, Abang Johari dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Mubadala, syarikat pelaburan berdaulat yang beribu pejabat di Abu Dhabi, bagi mendorong potensi kerjasama dan pelaburan dalam sektor peralihan tenaga.

Turut diadakan pada hari sama adalah pemeteraian MoU antara MASDAR, perusahaan komersial global terkemuka tenaga boleh baharu dan teknologi bersih dari Qatar dengan Sarawak Energy Bhd (SEB), yang memperlihatkan komitmen bersama terhadap amalan tenaga lestari dan potensi perkongsian strategik.

Pada Khamis, Abang Johari dan delegasinya dijadualkan berlepas ke London untuk meneruskan usaha menonjolkan aspek yang boleh ditawarkan Sarawak untuk memajukan ekonomi hijau.

"Di London, mereka akan terlibat dalam perbincangan lanjut berhubung pelaburan perniagaan dan program rangkaian, menegaskan dedikasi Sarawak untuk memperluas perkongsian antarabangsa dan menarik pelaburan demi pembangunan lestari," menurut Sarawakku.

-- BERNAMA