Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) hari ini menafikan 'Ops Selamat' yang dijalankan selama dua hari mulai 21 Mei lepas menyaasarkan untuk memindahkan golongan gelandangan.

Agensi itu dalam satu kenyataan di sini berkata tindakan memindahkan golongan gelandangan adalah di luar bidang kuasanya.

"Pada 21 dan 22 Mei lalu, AADK daerah Dang Wangi melaksanakan Ops Selamat secara bersepadu bersama beberapa agensi lain bagi mengesan dan menahan penagih dadah serta lain-lain pesalah mengikut bidang kuasa agensi masing-masing.

"Agensi yang terlibat termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara," menurutnya bagi menafikan laporan beberapa portal yang mendakwa agensi itu terlibat dalam tindakan memindahkan gelandangan ke beberapa lokasi pada bulan lepas.

Sekumpulan gelandangan dilaporkan mendakwa diangkut DBKL pada lewat malam sebelum ditinggalkan di beberapa tempat seperti Rawang serta Lebuh raya Karak pada 22 Mei lalu.

Semalam, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Loga Bala Mohan turut menyangkal dakwaan laporan portal bahawa DBKL telah mengangkut dan meninggalkan gelandangan di beberapa lokasi di luar ibu kota pada bulan lepas.

Loga Bala berkata AADK yang bertanggungjawab mengetuai operasi itu perlu menjelaskan mengenainya.

Sementara itu, menurut AADK, dalam Ops Selamat itu, sebanyak 81 orang telah ditahan di bawah Seksyen 3(1) dan 8(3) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 selepas positif dadah dalam ujian air kencing.

"Mereka ini ada yang dihantar ke pusat pemulihan dan ada yang dibebaskan melalui jaminan," menurutnya.

AADK menasihatkan orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan aktiviti penagihan dadah agar membuat aduan ke agensi itu menerusi e-mail di pro@adk.gov.my atau hubungi Unit Media dan Komunikasi Korporat di talian 03-89112424.