Penaung Global Exhibitions and Conferences Sdn Bhd (GEC) Datuk Nonee Ashirin Mohd Rodzi berkata tempahan membabitkan kawasan seluas 12,000 meter persegi itu membuktikan bahawa penganjuran pameran dwi tahunan tersebut yang memasuki edisi ke-17 mendapat perhatian ramai pempamer dari serata dunia.
"Seperti biasa kita akan dapat melihat pempamer seperti dari China, Perancis, United Kingdom, Australia dan Itali serta akan ada negara yang kali pertama menyertai acara ini iaitu negara dari Timur Eropah.
"Saya percaya acara ini mendapat sambutan pempaper dari serata dunia kerana ia akan memaparkan produk maritim dan aeroangkasa yang canggih dengan teknologi terkini," katanya ketika ditemui Bernama di sini, pada Isnin.
Nonee Ashirin berkata orang ramai sudah mula mendapatkan tiket di laman web https://lima2025.com pada harga RM35 untuk tiket biasa dan RM15 bagi pelajar berumur 13 hingga 18 tahun, manakala bagi warga emas, kanak-kanak bawah 13 tahun serta Orang Kurang Upaya, masuk adalah percuma.
Beliau berkata penganjuran LIMA '25 turut memberi fokus kepada segmen pameran angkasa yang baharu diperkenal pada edisi kali ini dengan menekankan maklumat menarik mengenai penerokaan sesuai kanak-kanak dan remaja.
"Pameran itu diharap dapat menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia menceburkan diri dalam sektor angkasa," katanya.
LIMA '25 merupakan anjuran bersama antara Kementerian Pertahanan dan GEC yang akan mengetengahkan kepentingan pemain-pemain industri untuk sentiasa berinovasi dan meningkatkan daya saing, seiring dengan perkembangan teknologi yang kian pesat.
LIMA yang merupakan satu daripada pameran terbesar industri maritim dan aeroangkasa di Asia Tenggara, diadakan buat kali pertama pada 1991.
-- BERNAMA