JOHOR BAHRU: Sebanyak 95 peratus daripada 909 aduan yang diterima menerusi kod QR Aduan Suri sejak bulan lepas berjaya diselesaikan dan diambil tindakan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Senator Fuziah Salleh berkata antara aduan yang diterima adalah berkaitan harga barangan yang mahal, ketiadaan bekalan barangan serta pembelian dalam talian.

"Aduan yang banyak kita terima selalunya berkaitan barangan seperti telur dan minyak tiada di pasar raya dan harga sayur mahal.

"Jadi menerusi aduan-aduan itu penguat kuasa akan turun dan seterusnya membuat pemeriksaan. Sistem ini akan sentiasa dikemas kini agar ia lebih efektif dan efisien," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Aduan Suri dan Program Jualan Rahmah Peringkat Negeri Johor di Lotus Tebrau di sini malam tadi.

Katanya kementerian akan memperluaskan inisiatif kod QR Aduan Suri dengan meletakkan kod QR itu di pasar raya dan kedai selain mengedarkan hiasan magnet yang mempunyai kod berkenaan kepada orang ramai.

Kod QR Aduan Suri menerusi aplikasi WhatsApp dilancarkan bulan lepas dan menerusi mekanisme itu pengguna hanya perlu mengimbas kod QR disediakan bagi menghantar aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Sementara itu, Fuziah berkata tahun lepas, KPDN menerima sebanyak 29,265 aduan dengan 13,755 daripadanya merupakan pengadu wanita.

Katanya aduan itu diterima menerusi pelbagai platfrom termasuk Portal e-Aduan dan aplikasi EzAdu dengan aduan paling tinggi berkaitan transaksi dalam talian sebanyak 8,847, diikuti harga barangan (7,259) dan perkhidmatan mengelirukan (6,095).

-- BERNAMA