Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, kesemua mangsa terperangkap dalam runtuhan tersebut sebelum diselamatkan pasukan bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Air Semporna Noor Jali Maslah berkata, terdapat sebuah rumah di atas air telah roboh.
"Terdapat sembilan mangsa termasuk lima kanak-kanak berada di dalam rumah tersebut yang terperangkap. Maklumat daripada keluarga juga mendapati seorang kanak-kanak merupakan OKU bisu terperangkap dalam biliknya.
"Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan mereka dalam keadaan selamat," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Katanya lagi, operasi kemudian ditamatkan pada jam 2.59 petang selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.
"Mangsa pula dipindahkan ke balai raya kampung sebagai penempatan sementara," katanya. - Sinar Harian