KUALA LUMPUR: Pemeriksaan Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Sabtu telah melakukan 89,136 pemeriksaan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia melibatkan 4,332 pasukan pematuhan yang terdiri daripada 19,625 anggota bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tegasnya lagi, seramai 691 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, seramai 651 individu dikompaun, 38 lagi direman manakala dua lagi dijamin.

Berikut lima perkara penting kenyataan media Ismail Sabri pada Ahad:

1) PKPD ditamatkan di empat kawasan di Mukim Tenglu, Mersing, Johor iaitu Kampung Tanjung Genting, Kampung Benaung, Kampung Makam dan Kampung Sawah Datok, lima lokaliti di Taman Perumahan di Mentakab, Pahang iaitu di Taman Bukit Bendera, Taman Rimba, Taman Sri Layang, Taman Saga dan Taman Saga Indah, di Ladang Brumas, Kalabakan, Kampung Pulutan, Nabawan, dan Taman Wijaya Park, Kota Kinabalu, Sabah.

2) Tiga lokaliti baharu yang diumum PKPD bermula 6 sehingga 19 Julai 2021 adalah Kuarters Ladang Lepan Kabu (A & B) dan sebahagian kawasan Kampung Pahi (kawasan bersempadan dengan Kuarters Ladang Lepan Kabu), Kuala Krai, Kelantan, Kampung Jambatan Baru, Membakut, Beaufort dan Blok 6, Kampung Titingan, Tawau, Sabah.

3) Dua lagi lokaliti dilanjutkan PKPD bermula 6 sehingga 19 Julai 2021 di Kampung Jaya Baru, Kunak dan Kampung Serudung Baru, Tawau, Sabah.

4) Pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melakukan 5,785 pemeriksaan ke atas kilang, 15,388 premis perniagaan, 569 tapak pembinaan dan 297 asrama penempatan pekerja.

5) Operasi BENTENG (Op BENTENG) pada Sabtu telah menangkap 35 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan merampas tiga buah kenderaan darat, dalam operasi itu, sebanyak 17 buah bot/kapal turut dikesan di
perairan negara melalui empat aktiviti penglihatan.