KUALA LUMPUR:Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 807 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ujar Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 

Daripada jumlah itu, 747 individu telah dikompaun manakala 52 individu pula direman, dan lapan dijamin.

"Antara kesalahan ingkar SOP arahan PKP termasuk aktiviti pusat hiburan (475 ) yang paling tinggi, dan yang lain-lain melibatkan kesalahan tidak memakai pelitup muka, gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal," katanya dalam sidang media mengenai PKP di sini pada Isnin.

Taskforce ditubuhkan akan meningkatkan pemeriksaan dan mengambil tindakan kepada individu dan pemilik premis yang ingkar SOP.

Pada masa sama, semalam, Operasi Benteng (Op Benteng) berjaya menahan 85 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI),  penyeludup serta merampas tiga kenderaan darat.

Sebanyak 266 Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng dilaksanakan semalam yang melibatkan ATM (200), PDRM (57) dan AKSEM (9).

Kawalan Sempadan Negara Operasi Benteng yang melibatkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi PATI bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak COVID-19.

Justeru, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus.