KUALA LUMPUR: Sebanyak 79 projek perumahan swasta dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM5.57 bilion terbengkalai di Semenanjung, setakat ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata semua projek terbengkalai di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) itu merangkumi 17,724 unit rumah membabitkan 11,824 pembeli.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 38 projek meliputi 11,511 unit rumah membabitkan 6,319 pembeli sedang dalam peringkat perancangan bagi mengenal pasti kaedah dan mekanisme untuk memulihkannya melalui penyelesaian yang dipersetujui bersama pemaju penyelamat serta pembeli.

"Selain itu, sebanyak 26 projek meliputi 3,383 rumah yang membabitkan 2,806 pembeli dalam peringkat statik, yang mana sedang dalam penyelesaian isu perundangan, manakala 15 projek lagi, meliputi 2,830 rumah yang membabitkan 2,699 pembeli dalam peringkat sedang dipulihkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) yang bertanya mengenai jumlah keseluruhan projek perumahan terbengkalai mengikut pecahan negeri sehingga 2021, dan punca sebenar ia berlaku serta penyelesaian terhadap perkara itu.

Mengulas lanjut, Reezal Merican memaklumkan, dalam tempoh 10 tahun, kerajaan membelanjakan lebih RM219.8 juta yang membabitkan campur tangan langsung sehingga projek perumahan tersebut siap.

"Tapi perlu dingatkan ada antara projek terbengkalai yang melewati 10 tahun dan ia akan mengalami susut nilai, ini anggaran saya.

"Demikian juga soal pemulihan, bergantung kepada kaedah di mana kalau ada rundingan dengan pelikuidasi termasuk mengatur pembelian semula di mana kosnya akan menjadi rendah.

Beliau manambah, kerajaan turut menyediakan dana fasilitator kepada pemaju-pemaju perumahan kos rendah dan sederhana.

Dalam pada itu, Reezal Merican memberitahu, kerajaan akan meneliti penambahbaikan dan pindaan Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118).

Pindaan itu katanya, dapat memberi jaminan untuk membela nasib pembeli rumah serta mengawal dari berlakunya projek terbengkalai.