Pegawai dan anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, Sabah serta ahli keluarga mereka yang kesemuanya berjumlah 76 orang telah menjalani ujian saringan COVID-19.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata ketika ini kesemua mereka sedang menjalani proses kuarantin di rumah masing-masing selepas Kluster Benteng LD dikesan di IPD berkenaan.

Beliau berkata mereka terdiri empat pegawai, 30 anggota dan 42 ahli keluarga dengan ujian awal mencatatkan keputusan negatif.

"IPD Lahad Datu masih beroperasi seperti biasa dan proses sanitasi awam telah dibuat," katanya kepada Bernama pada Rabu.

Acryl Sani berkata buat masa ini, IPD Lahad Datu tidak mengambil tahanan baharu dengan tahanan di daerah ini akan ditempatkan di lokap balai polis berdekatan.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata setakat ini seramai lapan tahanan telah dikesan positif COVID-19.

"Lima daripada mereka kini ditempatkan di lokap IPD Lahad Datu manakala tiga lagi di Penjara Tawau," katanya ringkas.

Semalam, Bernama melaporkan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster baharu dikenali sebagai Kluster Benteng LD dikesan hasil saringan terhadap tahanan baharu di lokap IPD berkenaan.

-- BERNAMA