Kementerian Pengangkutan berhasrat mencapai 750,000 pengguna pengangkutan awam menjelang 2015 berikutan bertambah baiknya sistem pengangkutan awam bandar di Lembah Klang.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri berkata Program Transformasi Kerajaan (GTP) telah mengenal pasti tujuh Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang merangkumi Pengangkutan Awam Bandar (UPT).

Beliau berkata kerajaan komited untuk terus menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam bertaraf dunia kepada rakyat.

"Kerajaan akan terus berusaha ke arah matlamat kita untuk mencapai 750,000 pengguna pengangkutan awam semasa tempoh puncak pagi setiap hari pada 2015," katanya dalam ucaptamanya pada Persidangan Kereta Api dan MRT Malaysia 2012 di sini hari ini.

Beliau berkata, sejak pengenalan NKRA-UPT, bilangan pengguna pengangkutan awam harian semasa waktu puncak telah meningkat dengan ketara daripada 238,313 pada awal 2010 kepada lebih 411,000 pada Oktober 2012.

"Memandangkan bilangan penduduk Lembah Klang yang sentiasa bertambah, kini wujud keperluan mendesak untuk memperluaskan perkhidmatan bagi meliputi penduduk dalam sekitar lokasi sistem rel yang cekap di Lembah Klang," katanya.

Beliau berkata usaha untuk menambah baik perkhidmatan pengangkutan awam di Lembah Klang akan dipertingkatkan lagi melalui GTP 2.0.

"Sebanyak 14 inisiatif telah dan akan dilaksanakan, termasuk perkhidmatan bas bandar, model perniagaan teksi baharu, 12 set monorel empat gerabak dan penyusunan semula rangkaian bas berhenti-henti Greater KL," kata beliau.

Abdul Rahim berkata cita-cita untuk mencapai 50 peratus pengguna pengangkutan awam menjelang 2020 perlu disokong oleh peningkatan liputan dan kapasiti pengangkutan rel bandar.

Beliau berkata sambungan landasan LRT (Transit Aliran Ringan) dan landasan Transit Aliran Massa (MRT) merupakan beberapa projek yang dikenal pasti dapat menjadikan aspirasi ini satu kenyataan.

"MRT yang sedang dibina akan meliputi jarak sejauh 57 km, dengan 35 stesen yang menghubungkan beberapa bandar bermula dari Sungai Buloh dan berakhir di Kajang," jelas beliau.

Menurut beliau, MRT dijangka membawa hingga 400,00 penumpang setiap hari manakala dua lagi laluan dikenal pasti dan dirancang bagi pembangunan pada masa akan datang.