PERKARA yang paling menarik mengenai Ramadan ialah hakikat pada bulan inilah kitab suci al-Quran diturunkan.

Oleh itu, untuk mendapatkan pahala yang maksimum di bulan mulia ini, ramai umat Islam berusaha untuk khatam al-Quran sekurang-kurangnya sekali.

Tetapi untuk khatam al-Quran dalam masa 30 hari mungkin sesuatu yang mencabar bagi kebanyakan kita, terutamanya bagi mereka yang bekerja.

Berikut adalah tips bagi membantu anda:

1. Masa al-Quran: Pilih satu masa yang tetap untuk membaca al-Quran dan kekalkan rutin ini.

2. Teks bacaan mudah: Kitab al-Quran tersedia dalam pelbagai saiz malah boleh juga didapati pada peranti melalui aplikasi dan laman web. Pilih platform yang menjadikan bacaan lebih mudah diurus.

3. Sokongan keluarga: Bercakap dengan pasangan anda, anak-anak dan sesiapa sahaja yang tinggal bersama anda tentang keinginan anda untuk khatam Al-Quran dan beritahu mereka apa bentuk bantuan yang anda perlukan daripada mereka.

4. Rakan membaca al-Quran: Ini sangat membantu! Percayalah, jika anda mempunyai rakan yang mempunyai niat yang sama, ia lebih membuatkan anda bermotivasi.




5. Tempat selesa: Tempat duduk yang selesa adalah penting untuk bacaan yang berkesan. Penting juga untuk memastikan anda duduk dalam keadaan yang menggalakkan pernafasan.

6. Jangan kering tekak: Jika anda mengaji di waktu malam, minum segelas air supaya tekak anda tidak kering. Berhati-hati dengan minuman berkafein dan tinggi kandungan gula.

7. Baca perlahan: Membaca al-Quran dalam tempoh yang lama boleh membuatkan tekak anda merasa tegang dan kering. Bacalah dalam nada yang perlahan, cukup sekadar setiap huruf dan bunyi dapat didengar dengan baik oleh telinga anda.