IPOH: Tujuh anggota Geng Nantha Kumar didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang sejak 2018.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh, Gunasegaran, Muhammad Firdaus Abdullah, Rahuljeet Singh, P. Kamal Raj, N. Pubalan, S. Kumaran dan G. Prem selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Kesemua mereka yang berusia 23 hingga 35 tahun, didakwa melakukan kesalahan itu dalam daerah Kinta antara Ogos 2018 hingga Februari 2020.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Abd Rahman dan Mohd Farhan Aliff Ahmad manakala enam daripada tujuh tertuduh diwakili peguam dan seorang tertuduh, Pubalan tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 8 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Rohaiza ketika ditemui media kemudian memaklumkan, mahkamah menolak permohonan jamin terhadap semua tertuduh atas alasan boleh dibuat di Mahkamah Tinggi.