REMBAU: Sebanyak 585 bebuli vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech yang diterima Malaysia sebelum ini dipulangkan semula, kerana didapati rosak akibat suhu penyimpanan vaksin itu berubah.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata, bagaimanapun jumlah yang dipulangkan adalah sedikit berbanding lebih 500,000 dos vaksin yang diterima sebelum ini.

“Kita pulangkan kepada syarikat pfizer 585 bebuli kerana kita dapati bahawa dalam perjalanan daripada kilang di Belgium ke Malaysia, suhu penyimpanan itu telah meningkat daripada negatif 70 kepada suhu yang tidak diterima oleh pihak Kementerian Kesihatan.

“Ini bermakna, (masalah) melibatkan suhu simpanan ketika dalam logistik itu.

“Kalau dibandingkan dengan lebih 500,000 dos yang sudah kami terima, ini adalah bilangan yang kecil dan pihak Pfizer akan ganti dos tersebut,” katanya kepada media di sini pada Rabu.

Beliau yang juga Menteri Sains, Teknonologi dan Inovasi (MOSTI) sebelum itu melakukan lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Klinik Kesihatan Rembau di sini.

Mengulas lanjut ujarnya, pihak syarikat akan menggantikan dos vaksin rosak itu dengan yang baharu serta tiada keperluan untuk mempercepatkan pemberian vaksin kepada rakyat di negara ini.