KUALA LUMPUR: Seramai 500 pesakit kanser dari hospital kerajaan bakal menerima rawatan secara percuma di hospital swasta yang diselia IHH Healthcare Berhad.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, persetujuan itu dicapai dalam Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan IHH Healthcare pada Rabu.

Menurut Khairy, pakar onkologi dari KKM akan memilih pesakit yang difikirkan bersesuaian bagi menjalani rawatan menggunakan teknologi Gamma Knife and Linear Accelerator (LINAC).

"Kalau onkologi mendapati bahawa mereka sesuai untuk menjalani rawatan yang disediakan di hospital IHH, maka mereka akan dipilih dan dirujuk ke sini. Prosedur itu juga akan melibatkan onkologi daripada KKM.

"Sebab itu ia mengambil sedikit masa sebab bila nak mengamalkan perkhidmatan perubatan di fasiliti swasta, mesti mendapat kelulusan daripada fasiliti tersebut.

"Setelah proses itu dapat dilaksanakan barulah pakar daripada hospital awam boleh memberi rawatan di hospital swasta. Jadi semua itu sudah selesai dan saya rasa dalam tempoh sebulan dua bolehlah mulakan dengan rawatan ini," katanya dalam sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU berkenaan hari ini.

Tambah Khairy, perjanjian persefahaman itu sangat bersejarah kerana ia dibuat dalam skala yang besar, tidak pernah dibuat sebelum ini.

Beliau turut memberitahu, tiga buah hospital di bawah IHH Healthcare akan terlibat dalam program itu ialah Hospital Pantai, Hospital Gleneagle dan Pusat Perubatan Prince Court.

"Ini ditaja sepenuhnya oleh pihak IHH Healthcare dan kita tengok dulu kejayaan program ini dan sekiranya kita ingin melanjutkan program ini bolehlah kita bincang kemudian sama ada kita bayar sedikit ataupun ada elemen tajaan sedikit.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak IHH Healthcare kerana ini adalah langkah yang sangat berkesan untuk memperkenalkan teknologi terkini dan rawatan menggunakan teknologi terkini kepada pakar daripada KKM dan juga kepada pesakit kanser yang sedang dirawat di fasiliti KKM," ujarnya.