KUALA LUMPUR:Rakyat Malaysia inginkan kerajaan menggubal undang-undang Anti Lompat Parti bagi mengatasi ketidakstabilan politik dalam negara.

Berdasarkan tinjauan yang dilakukan pusat penyelidikan swasta Centre for Governance and Political Studies (Cent-GPS), sebanyak 50 peratus individu percaya bahawa krisis politik semasa dapat dielakkan dengan pelaksanaan undang-undang tersebut.

“Manakala, 37 peratus mengatakan mungkin (perlu melaksanakan undang-undang Anti Lompat Parti) dan 12 peratus tidak mahu undang-undang tersebut dilaksanakan.

“Ketika ditanya sama ada krisis politik semasa adalah akibat Ahli Parlimen yang melompat (parti), 53 peratus mengatakan ya, 37 peratus mengatakan mungkin dan 10 peratus mengatakan tidak,” kata Cent-GPS dalam satu kenyataan.


BACA: Kerajaan PN perlu ada keazaman politik gubal Akta Anti Lompat Parti

Menurut tinjauan tersebut, 46 peratus responden berkata, mereka telah hilang minat berkaitan perihal politik disebabkan amalan lompat parti yang berlaku dalam kalangan Ahli Parlimen.

“Sementara itu, 36 peratus responden mengatakan sedikit sebanyak berminat akibat dipengaruhi amalan tersebut manakala 18 peratus mengatakan tidak.

“Ketika ditanya adakah amalan Ahli Parlimen lompat parti memberi kesan kepada mereka, hanya 14 peratus yang mengatakan ya, 48 peratus mengatakan agak dan 38 peratus percaya bahawa tindakan lompat parti tidak banyak memberi kesan kepada mereka,” katanya.

Hukuman yang harus dikenakan ke atas Ahli Parlimen yang lompat parti

Apabila ditanya jenis hukuman yang harus dijatuhkan sekiranya Ahli Parlimen melompat parti, tinjauan Cent-GPS mendapati 43 peratus bersetuju Ahli Parlimen tersebut harus diharamkan daripada bertanding dalam pilihan raya akan datang.

“34 peratus pula berpendapat Ahli Parlimen tersebut harus segera mengosongkan kerusi, 14 peratus percaya mereka perlu didenda manakala lapan peratus berkata Ahli Parlimen terlibat harus dipenjara,” katanya.

Sekiranya amalan lompat parti masih dibenarkan, Cent-GPS berkata, ahli politik akan memberikan keutamaan kepada populariti dan dasar jangka pendek manakala dasar yang memanfaatkan negara dalam jangka masa panjang akan diketepikan.

Tinjauan yang melibatkan 1,100 individu di seluruh negara itu dilakukan bagi menilai tahap penerimaan, tuntutan dan pemahaman rakyat Malaysia berkaitan amalan lompat parti dan undang-undang Anti Lompat Parti.

Tinjauan berkenaan dilaksanakan dari 19 November sehinga 10 Disember lalu, melibatkan 56 peratus responden wanita dan 44 peratus lelaki, daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar berkata Akta Anti Lompat Parti perlu digubal bagi mengekang amalan lompat parti oleh sesetengah Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), sekali gus mampu mengatasi ‘pandemik politik’ negara.


Kata Akhbar, isu lompat parti tidak boleh terus dipinggir kerana selain menjejaskan kestabilan kerajaan, ia juga menandakan wujudnya unsur rasuah.

BACA: Gejala rasuah penjawat awam di Malaysia kini satu pandemik - Akhbar Satar