Lima puluh buah motosikal musnah dalam satu kebakaran di sebuah kedai motosikal di Jalan Seluang, Taman Tenaga, ibu negara, awal pagi ini.

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) menerima panggilan kecemasan pada jam 3.36 pagi dan menggerakkan 40 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Razak, Hang Tuah dan Cheras ke lokasi kejadian.

“Kebakaran melibatkan sebuah kedai motosikal di tingkat bawah bangunan kelas A berkeluasan 1,500 kaki persegi.

“Kemusnahan kebakaran dianggarkan 80 peratus,” kata Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Kuala Lumpur dalam satu kenyataan.



Menurut kenyataan itu, api dapat dipadamkan sepenuhnya pada jam 4.35 pagi.

Tiada kemalangan jiwa direkodkan.

Punca kebakaran masih dalam siasatan.