KUALA LUMPUR: CERDIK, inisiatif perintis tanggungjawab sosial korporat yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 untuk menyediakan akses digital pendidikan melalui akses kepada peranti dan sambungan data, menyasarkan sekurang-kurangnya 50,000 pelajar akan menerima peranti mereka pada akhir bulan Mei ini dan baki 100,000 peranti lagi dijangka diagih pada akhir September 2021.

Setakat ini, 13,000 peranti telah diedarkan oleh Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) kepada Pejabat Pendidikan Daerah di beberapa negeri dan lebih 1,000 pelajar telahpun menerima peranti mereka.

"Program ini merupakan kerjasama Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan yang bertujuan merapatkan jurang pembelajaran digital bagi sekolah rendah serta menengah di Malaysia dan meneroka model pembelajaran digital untuk diguna pakai di masa hadapan," menurut kenyataan CERDIK di sini pada Ahad.

Kesemua peranti telah disahkan yang terkini dengan kapasiti mencukupi untuk penaikan taraf perisian bagi menyokong pembelajaran akademik pelajar di sekolah sekurang-kurangnya tiga tahun dengan pengesahan kualiti, fungsi dan keselamatan yang sewajarnya bagi mencegah atau meminimumkan sebarang isu atau gangguang dalam pembelajaran.

"CERDIK adalah sebuah program perintis pembelajaran digital dan ia dilaksanakan tepat pada masanya ketika pendigitalan kian pantas berkembang dalam semua aspek kehidupan masyarakat. Malah transformasi digital telah menjadi keperluan dalam era moden ini.

"Seperti yang kita dapat lihat, krisis wabak COVID-19 telah jelas membuktikan bahawa pendigitalan adalah sangat diperlukan.

"Di serata dunia, pembelajaran maya misalnya, sangat penting untuk memastikan persekolahan tidak terjejas dan pendidikan dapat diteruskan," kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin.

Beliau juga meyakinkan ibu bapa bahawa setiap peranti CERDIK dilengkapi dengan sokongan teknikal dan jaminan yang diperlukan untuk mengurangkan gangguan dalam pembelajaran digital.

"COVID-19 telah memesatkan penggunaan digital buat orang ramai dan pembelajaran jarak jauh semakin menjadi satu kebiasaan.

"Program CERDIK diperkenal untuk merapatkan jurang sosioekonomi dengan memudahkan pembelajaran digital untuk golongan berpendapatan rendah.

"Program perintis ini membolehkan pembelajaran digital yang perlu dijadikan komponen asas dalam pendidikan anak-anak kita jika kita ingin meraih manfaat ekonomi melalui Revolusi Industri Keempat," kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Inisiatif itu telah mendapat respons positif daripada penerima dan buat Roslaini Rustam, beliau bersyukur kerana anak perempuannya yang merupakan pelajar di Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang telah menerima seunit peranti untuk digunakan bagi membantu pembelajarannya.

"Ketika guru menjalankan kelas dalam talian semasa pandemik ini, kami menghadapi masalah kerana tiada alat peranti yang mencukupi untuk dikongsi di antara lima beradik.

"Jadi saya harap anak-anak saya akan menggunakan alat ini untuk manfaat diri mereka," katanya.

Abdul Muslefi Mohd Yusop, bapa seorang lagi penerima peranti yang juga pelajar di sekolah sama, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam inisiatif ini.

"Kami akan memanfaatkan komputer riba ini untuk kegunaan anak-anak kami, selama mana yang boleh. Kami juga akan menjaga peranti ini sebaiknya dan memastikan ia sentiasa berada dalam keadaan yang elok agar anak-anak dari keluarga yang lain juga akan dapat menggunakannya kelak," katanya.

Kedua-dua menteri turut merakamkan ucapan terima kasih kepada penderma korporat atas sumbangan besar mereka yang telah menjayakan program perintis CERDIK dan syarikat yang terlibat termasuk Khazanah Nasional Bhd serta kumpulan syarikatnya, Yayasan PETRONAS, Permodalan Nasional Bhd serta kumpulan syarikatnya, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja serta kumpulan syarikatnya dan Lembaga Tabung Haji.

-- BERNAMA