KUALA LUMPUR: Menghadap kesesakan di ibu negara mungkin melelahkan warga kota namun di sebalik hiruk-pikuk itu terdapat beberapa lokasi, termasuk yang agak tersembunyi, di Kuala Lumpur yang mampu memberikan ketenangan dan melegakan minda yang penat.

Terletak di tengah-tengah metropolitan ini, lima lokasi terbabit menjanjikan ketenangan buat pengunjung untuk menikmati kehijauan rimba dan panorama indah tanpa perlu memandu jauh, terutamanya pada hujung minggu.


TAMAN BURUNG KUALA LUMPUR


Taman burung berkeluasan 8.5 hektar yang dibuka setiap hari dari 9 pagi hingga 6 petang ini menempatkan lebih 100 spesies dengan anggaran 2,000 ekor burung dari dalam dan luar negara.

Pengunjung boleh bergambar dan berinteraksi dengan kelompok unggas ini dengan memberi makanan yang disediakan selain menyaksikan persembahan burung pada 12.30 tengah hari dan 3.30 petang.

Tempat rekreasi ini menjadi platform pendidikan untuk masyarakat tentang kepelbagaian spesies burung serta habitat haiwan menerusi papan tanda.


MENARA KUALA LUMPUR

Terletak kira-kira 4.9 kilometer dari Taman Burung Kuala Lumpur, struktur berketinggian 421 meter dan merupakan menara tunggal ketujuh tertinggi di dunia ini menawarkan pengalaman menarik kepada pengunjung menikmati pemandangan ibu kota dari Dek Sky dengan harga RM37 (kanak-kanak), RM71 (dewasa) dan Sky Box berharga RM10.

Pempengaruh TikTok, Alya Dyna Zulaiqha Azrin, 18, yang pertama kali menjejakkan kaki di Menara KL antara yang terpukau dengan panorama indah yang boleh dilihat dari kesemua arah atau 360 darjah.

"Masa sampai di Dek Sky itu saya rasa macam bermimpi sebab tak sangka boleh nikmati pemandangan seluruh Kuala Lumpur dari atas, selain berpeluang ambil gambar di Sky Box sebagai kenangan," katanya yang bercadang membawa ahli keluarganya yang lain untuk melawat menara telekomunikasi itu pada masa akan datang.


TAMAN EKO RIMBA KUALA LUMPUR

Jangan tidak percaya, di tengah-tengah kepesatan ibu kota ini ada hutan hujan tropika yang amat menenangkan dan menyegarkan minda, membuatkan pengunjung seakan terlupa masih berada di belantara konkrit bernama Kuala Lumpur.

Taman Eko Rimba Kuala Lumpur yang berkeluasan 9.37 hektar ini dibuka setiap hari kecuali Jumaat, bermula 8 pagi hingga 3 petang. Selain merentasi 'bamboo walk', pengunjung juga boleh berjalan di atas jambatan gantung sepanjang 200 meter atau menikmati kehijauan pokok di denai alam semula jadi. Taman ini juga dilengkapi siren bagi memberi amaran kepada pengunjung untuk meninggalkan taman sekiranya berlaku hujan lebat.

Taman ini juga menjadi "rumah" beberapa jenis reptilia serta burung seperti burung murai batu, burung hantu dan helang selain haiwan primat lotong. Bagaimanapun pengunjung tidak disarankan memberi makanan kepada haiwan terbabit.


TAMAN TASIK TITIWANGSA

Taman berkeluasan 46.13 hektar ini turut menyediakan kayak serta 'paddle boat' yang sesuai dinaiki seisi keluarga.

Lokasi yang merupakan bekas lombong bijih timah ketika zaman penjajahan British ini juga mempunyai tempat untuk pengunjung berjoging, berbasikal serta berkelah sambil menikmati pemandangan indah tasik yang berlatarbelakangkan Menara Berkembar Petronas.

Taman Tasik Titiwangsa yang dilengkapi 51 kamera litar tertutup dan merupakan hasil produk Sungai Nadi Kehidupan (ROL) ini juga mesra Orang Kurang Upaya dan sesuai buat mereka yang berkerusi roda sekali gus memudahkan golongan tersebut beriadah.


RIVER OF LIFE MASJID JAMEK

Pengalaman penulis berkunjung ke ROL Masjid Jamek pada waktu malam sungguh menakjubkan dengan pencahayaan LED biru menerangi sungai dan kawasan sekitarnya, menjadikan lokasi ini bukan sahaja mesra Instagram tetapi juga sesuai buat mereka yang sukakan suasana romantik.

ROL yang merupakan inisiatif memulih dan memperindah kawasan sungai di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur, khususnya di sepanjang Sungai Klang dan Sungai Gombak ini juga cukup tenang dan sesuai untuk melakukan riadah bersama-sama keluarga atau rakan selain mesra pejalan kaki.

Lebih menarik, lokasinya yang berdekatan Dataran Merdeka ini juga mempunyai pelbagai kemudahan termasuk tempat duduk, sesuai untuk pengunjung bersantai dan berehat sambil menikmati keindahan kawasan bersejarah berkenaan.

-- BERNAMA