Seramai 474 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan daripada 1,871 orang yang diperiksa dalam 124 operasi penguatkuasaan yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam tempoh 24 jam pertama 2020.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata empat orang majikan turut ditahan dalam tempoh operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan bagi memburu saki baki pendatang asing yang ingkar untuk menyerah diri dan pulang ke negara asal melalui program Back For Good (B4G).

Daripada jumlah pendatang asing yang ditahan, warga Indonesia mencatatkan tangkapan tertinggi iaitu seramai 220 orang, diikuti warga China (89), Bangladesh (78), Myanmar (42), Filipina (22) dan bakinya adalah dari negara-negara lain, katanya.

Dalam kenyataan hari ini, Khairul Dzaimee berkata program B4G yang tamat pada 31 Disember lepas (2019), seramai 190,471 pendatang asing mendaftar untuk pulang secara sukarela.

"JIM telah memberikan tempoh yang secukupnya bagi pendatang asing menyerah diri secara sukarela dan pulang melalui program B4G. Namun kesempatan ini tidak diambil sepenuhnya oleh mereka dan sesetengah majikan yang masih berdegil," katanya.

Menurutnya, majikan yang dikesan menggaji pendatang asing boleh diambil tindakan di bawah empat perundangan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Majikan boleh didakwa di bawah Seksyen 55A untuk membawa masuk pendatang asing secara tidak sah ke dalam negara, Seksyen 55B untuk menggaji pendatang asing, Seksyen 55E untuk membenarkan pendatang asing masuk dan tinggal di premis dan Seksyen 56 (1) (d) untuk kesalahan melindungi pendatang asing.

Selain itu, majikan juga boleh didakwa di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007(Pindaan 2010) (ATIPSOM) jika terdapat elemen-elemen paksaan atau eksploitasi pekerja, katanya.

--BERNAMA