SEREMBAN: Sebanyak 435 notis mahkamah dikeluarkan kepada orang ramai di negeri ini atas pelbagai kesalahan merokok sejak 1 Jan hingga 21 Mac lepas membabiktan kompaun sebanyak RM123,700.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan (Kesihatan Awam) Dr Mohammad Faid Abd Rashid berkata kompaun mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (PPKHT 2004) itu dikeluarkan menerusi 116 operasi bersepadu ke atas 2,153 premis yang diperiksa di seluruh negeri ini.

"Dalam usaha memastikan pematuhan PPKHT 2004 bagi tujuan melindungi kesihatan orang awam, kita sentiasa menganjurkan operasi penguatkuasaan dari masa ke masa di seluruh Negeri Sembilan termasuk semasa Perintah Kawalan Pergerakan dan Pelan Pemulihan Negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas operasi penguatkuasaan larangan merokok di sini malam tadi.

Menurutnya, pada tahun lepas sebanyak 457 notis mahkamah dikeluarkan dengan nilai keseluruhan kompaun RM137,950 membabitkan 346 operasi daripada 7,957 premis yang diperiksa di setiap daerah.

Mengenai operasi selama hampir 8 jam itu, Dr Mohammad Faid berkata sebanyak 66 notis mahkamah dikeluarkan kepada orang ramai daripada 90 premis diperiksa di sekitar Seremban termasuk premis makanan dan kawasan hospital.

Menurutnya, daripada jumlah itu 30 notis dikeluarkan atas kesalahan merokok di premis makanan dengan kompaun RM7,500 manakala lima notis atas kesalahan kegagalan pemilik premis memastikan bahawa tiada yang merokok di dalam premis (RM1,250) serta lain-lain kesalahan sebanyak 31 notis (RM 7,750).

Dalam pada itu Dr Mohammad Faid berkata pihaknya sentiasa mengambil langkah drastik bagi menangani isu merokok terutama di kawasan larangan dan kini jabatan kesihatan negeri giat menjalankan operasi pada setiap hari terutama di premis makanan.

Justeru, orang ramai terutama yang bukan perokok turut digesa mengambil tanggungjawab menegur perokok bagi melindungi hak masing-masing sekali gus tidak menjadi perokok pasif, katanya.

-- BERNAMA