GEORGE TOWN: Sekolah sains komputer '42' akan mula beroperasi di sini dan menerima kemasukan pelajar tahun depan, susulan kerjasama antara kerajaan negeri, Digital Penang, Kumpulan Pendidikan Sunway dan Khazanah Nasional Bhd.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata 42 Penang akan menjadi sebahagian daripada rangkaian kampus di bawah 42 Malaysia, yang bermatlamat menjadi tenaga penggerak dalam membangunkan kemahiran digital dan menyumbang kepada inovasi teknologi di rantau ini.

Beliau berkata 42 Penang akan menyediakan pengalaman pembelajaran yang mudah diakses dan inovatif dalam sains komputer, mengikut model pembelajaran 42 daripada Perancis yang menerapkan pendekatan pembelajaran bersama rakan sebaya.

Ia menawarkan platform yang unik dan inklusif untuk para pelajar memperoleh kemahiran dunia sebenar menerusi pembelajaran berdasarkan projek, tanpa dikenakan yuran.

"Penubuhan ini adalah pemangkin kepada mobiliti sosial dan peluang ekonomi. Kini, setiap individu di negeri ini, tanpa mengira latar belakang atau pengalaman, boleh mempelajari kemahiran IT (teknologi maklumat) yang penting.

"Lepasan 42 Penang akan ditagih oleh majikan di Pulau Pinang dan seluruh dunia. Industri teknologi kini berkembang pesat dan kita berdepan kekurangan pekerja berkemahiran, justeru mereka boleh memanfaatkan peluang ini dan membina kerjaya," katanya kepada pemberita pada majlis pengumuman 42 Penang di Bangunan UAB di sini semalam.

Chow berkata kerajaan negeri juga akan memperuntukkan RM3.25 juta untuk tiga tahun akan datang bagi memastikan kejayaan usaha itu

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pendidikan Sunway Prof Datuk Dr Elizabeth Lee berkata model pembelajaran 42 telah terbukti berkesan dalam menghasilkan bakat celik teknologi dan mereka yakin lepasan program itu boleh berkhidmat dalam mana-mana industri.

"Pendidikan mesti terus berevolusi bagi memenuhi permintaan industri dan masyarakat yang sentiasa berubah.

"Kolaborasi ini menunjukkan komitmen kami untuk membangunkan bakat teknologi berkemahiran tinggi daripada generasi akan datang, memastikan mereka mempunyai kemahiran secukupnya untuk berkembang maju dalam landskap era digital yang dinamik," tambahnya.

-- BERNAMA