KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan sekurang-kurangnya 40 peratus subsidi yang disalurkan kerajaan dinikmati oleh golongan kaya.

Menurut Perdana Menteri, perkara itu dibentangkan oleh Jawatankuasa Penasihat kepada Kementerian Kewangan (MoF) pada Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini.

"Jadi saya tidak faham mengapa sesetengah orang masih nak pertahankan (penarikan subsidi kepada golongan kaya). Kita tidak berganjak daripada pendirian untuk mengurangkan subsidi (kecuali bagi golongan terbawah).

"Subsidi Tabung Haji dan elektrik selama ini dimanfaatkan oleh golongan kaya, dan tidak munasabah untuk diteruskan. Jadi, prinsip ini akan tetap diguna pakai melibatkan perbincangan subsidi diesel dan lain-lain," kata Perdana Menteri dalam sidang media selepas mempengerusikan MTEN hari ini.

Dalam masa sama, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa rakyat terbawah tidak akan terkesan dengan dasar yang akan diambil dalam reformasi ekonomi termasuk melibatkan pemberian subsidi.

"Dalam soal tarif elektrik, alhamdulillah, disambut baik walaupun cuba dipermainkan oleh sesetengah pihak.

"Ini kerana tarif elektrik itu naik hanya kepada syarikat-syarikat besar dan rumah-rumah kelompok kaya.

"Berbeza dengan kerajaan terdahulu yang mahu menaikkan kadar elektrik bagi semua rakyat," katanya lagi.