MACHANG: Seramai 40 pelajar termasuk seorang guru yang menghidap penyakit saraf di Maahad Tahfiz Al-Quran Al Mushaf Labok, di sini berdepan detik cemas apabila asrama penginapan mereka terbakar pada Isnin.

Kejadian jam 12.30 tengah malam itu disedari oleh salah seorang pelajar tahfiz berkenaan selepas melihat stor asrama berkenaan terbakar semasa bangun dari tidur untuk membuang air kecil.

Mudir Maahad Tahfiz Al-Quran Al Mushaf Labok, Ahmad Nidzamuddim Abdul Ghafar berkata, sejurus melihat api, pelajar berkenaan telah bertindak mengejutkan rakan-rakannya.

"Para pelajar tersebut telah bertindak memadamkan api namun gagal. Bagaimanapun, salah seorang daripada mereka telah ke rumah saya dan memaklumkan perkara tersebut.

"Saya terus bangun dan bergegas ke asrama tersebut dan mendapati api sudah marak," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, isterinya kemudian telah menghubungi pihak bomba untuk meminta bantuan bagi memadamkan kebakaran tersebut.

Katanya, kerosakan bangunan asrama itu dianggarkan bernilai RM70,000, namun pihaknya lega kerana kebakaran terbabit tidak melibatkan kemalangan jiwa.

"Biasanya saya akan membuat rondaan di asrama untuk melihat situasi terkini, namun disebabkan demam sudah dua hari, saya tidak mampu berbuat demikian," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Penolong Penguasa Bomba Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.20 pagi.

"Seramai 21 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba Machang dan Ketereh telah dikerah ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja memadam kebakaran serta menyelamat.

"Punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya.


*Berita asal di Sinar Harian