Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan empat warga Malaysia yang diculik di selatan Filipina selamat.

Kesemua mereka kini dibawa ke Sandakan untuk pemeriksaan kesihatan.

Ditanya mengenai sama ada polis ada membayar wang tebusan bagi membebaskan kesemua mangsa culik, Khalid berkata pihaknya tidak membuat sebarang bayaran kepada penculik.

"Kita belum ambil keterangan daripada mangsa tetapi tiada wang tebusan dibayar polis dalam membebaskan mereka" katanya dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad kali ke-81.

BACA: Empat rakyat Malaysia diculik di perairan Sabah dibebaskan

BACA: Lanun bersenjata culik empat rakyat Malaysia di perairan Semporna, Sabah


BACA: Polis Sabah sahkan empat rakyat Malaysia diculik di perairan Ligitan, Sabah


Keempat-empat lelaki berumur 21 hingga 34 tahun itu bertugas di sebuah kapal didaftarkan atas nama 'Masfive 6' dan ketika kejadian pada 1 April, mereka dalam perjalanan pulang ke Malaysia setelah selesai membawa kayu balak ke Manila, Filipina.

Mereka ialah Wong Teck Kang, 31; Wong Hung Sing, 34; Wong Teck Chii, 29, dan Johnny Lau Jung Hien, 21.

Keempat-empat individu dari Sarawak itu dibebaskan oleh kumpulan Abu Sayyaf dan telah kembali ke Sandakan awal Rabu.

Memetik laporan dari Jolo, dipercayai bahawa perunding Malaysia dan Filipina berjaya mendapatkan pembebasan empat individu tersebut selepas beberapa siri rundingan.