Seramai 32 rakyat Malaysia yang terkandas di Lapangan Terbang Ataturk, Istanbul, Turki selamat tiba di tanah air awal pagi tadi.

Antara yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini ialah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM), Prof Ir Mohd Jailani Mohd Nor, dan pensyarah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Mohd Hasnun Arif Hassan.

Kesemua mereka, tiba pada jam 5.10 pagi tadi dengan penerbangan Turkish Airlines.

Difahamkan, pada awalnya 45 rakyat Malaysia didaftarkan ketika berada di lapangan terbang di Turki, bagaimanapun sebahagian dari mereka membatalkan penerbangan atau menaiki pesawat lain.

"Pada mulanya kami dapat mengumpul 15 orang di gerbang 210, dan semakin lama semakin ramai. Sehingga kita turun ke gerbang 303, rakyat Malaysia yang kita dapat daftarkan seramai 45 orang dan yang terbang balik ke Kuala Lumpur hanya 32 orang.

"Kita ada lapan lagi sekeluarga yang dijadualkan penerbangan selepas kami, tetapi kami dengar berita penerbangan itu dibatalkan," kata Mohd Hasnun ketika ditemui pemberita sebaik tiba di sini, hari ini.

Mereka adalah antara rakyat pelbagai negara yang terkandas di Lapangan Terbang Ataturk susulan cubaan rampasan kuasa oleh pihak tentera Turki, kelmarin.

Sementara itu, Mohd Jailani berkata, bunyi tembakan mencetuskan keadaan kelam-kabut dalam terminal, seolah-olah dalam peperangan.

Ketika itu, dia sedang menunggu penerbangan pulang ke tanah air selepas menghadiri 'Persidangan Antarabangsa Congress in Sound and Vibration' di Athens, Greece dan transit di Istanbul sementara menunggu penerbangan pulang ke tanah air.

Beliau dan penumpang lain kemudiannya terkandas selama 15 jam di lapangan terbang berikutan serangan konco-konco dalam Angkatan Tentera Turki ketika cubaan menjatuhkan kerajaan pimpinan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan.

Katanya, dia terdengar bunyi letupan pertama di luar lapangan terbang dan kelihatan sekumpulan penduduk Turki sedang mengejar sebuah kereta kebal dan anggota tentera melepaskan tembakan ke udara.

Jelasnya lagi orang ramai yang berada di dalam lapangan terbang mula menyelamatkan diri bagi mengelakkan terkena peluru sesat.

Sewaktu kapal terbang yang membawa presiden Turki Recep Tayyip Erdogan, beliau melihat jet pejuang terbang rendah bunyi kuat dan selepas itu bunyi letupan. Ada yang dilihat turut menangis dan keadaan menjadi kelam kabut.

"Jadi saya mengambil keputusan walau apapun yang terjadi saya akan tetap berlindung di lapangan terbang tersebut kerana saya merasakan ia adalah tempat yang paling selamat pada ketika itu," katanya.

Dalam pada itu, Kedutaan Turki di Malaysia dalam kenyataan semalam mengulangi bahawa kerajaan pimpinan Erdogan masih berkuasa dan menafikan cubaan rampasan kuasa di negara itu berjaya dilaksanakan.