Seramai 32,260 pelajar mendaftar sebagai usahawan melalui Skim 1 Pelajar 1 Perniagaan (S1P1P) yang dilaksanakan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen.

Katanya, tiga sektor yang menjadi pilihan utama pelajar menjalankan perniagaan ialah sektor pakaian, sektor makanan dan sektor melibatkan produk kosmetik dan kecantikan.

"Oleh itu kita berharap akan lebih ramai lagi pelajar menceburi bidang perniagaan dengan memilih sektor yang paling berpotensi agar perniagaan yang bakal diusahakan membawa kejayaan dan menguntungkan," katanya dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada media semasa Karnival Youngpreneurs Go (YPGO) di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini hari ini.

Karnival dirasmikan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Chong berkata karnival YPGO itu adalah langkah proaktif SSM menjelajah ke beberapa universiti dan kolej di seluruh negara bagi menggalakkan lebih ramai pelajar menceburi bidang perniagaan dan seterusnya mendaftarkan perniagaan mereka.

"Seperti mana yang dikatakan Perdana Menteri iaitu Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) amat penting dan matlamat kerajaan adalah meningkatkan sumbangan PKS kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) ke tahap 41 peratus pada 2020," jelasnya.

Katanya kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk pembangunan usahawan muda seluruh negara sejak 2015 sehingga sekarang.

"Namun, hanya RM2 juta lebih yang digunakan untuk tujuan membantu para pelajar yang mahu menjadi usahawan. Ketika ini kita belum ada pelajar di Sabah yang telah mendaftarkan perniagaan mereka dengan SSM.

"Kita tahu ramai pelajar di negeri ini yang menceburi bidang perniagaan namun mereka belum mendaftar. Oleh itu kita mahu mereka mendaftarkan perniagaan mereka agar boleh menerima bimbingan dan geran daripada kerajaan. Pelajar yang mahu mendaftarkan perniagaan mereka juga tidak dikenakan sebarang bayaran," tambahnya.

-- BERNAMA