Seramai 31 orang pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping dikejarkan ke hospital malam tadi dipercayai keracunan makanan selepas menjamah juadah soto.

Pelajar yang berusia dalam lingkungan 16 hingga 17 tahun itu kemudiaannya menerima rawatan di Klinik Kesihatan Taiping dan Hospital Taiping.

Menurut Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Dr Venugopalan K. Balan, daripada jumlah tersebut, hanya seorang yang ditahan di wad dan keadaannya dilaporkan stabil.

"Tindakan penyiasatan dan kawalan masih berterusan. Masih terlalu awal untuk mengenalpasti punca kejadian ini kerana penyiasatan masih belum tamat," katanya.

Beliau berkata Dewan Makan sekolah telah ditutup sementara untuk tujuan penyiasatan.

Tinjauan ke MRSM berkenaan sekitar jam 6 petang mendapati kebanyakan pelajar telah meninggalkan sekolah kerana diberi cuti oleh pihak pengurusan sehingga hari Ahad.

Seorang pelajar tingkatan 4 sekolah itu sewaktu ditemui berkata, kesemua pelajar MRSM Taiping dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sejak tengahari tadi.

Bagaimanapun, hanya sebahagian pelajar sekolah yang tinggal berjauhan atau mempunyai komitmen program sekolah dibenarkan tinggal di asrama.

"Mana-mana pelajar yang tidak dapat pulang ke rumah akan dibekalkan makanan luar oleh guru-guru sekolah terbabit," kata beliau yang berasal dari Kuala Lumpur itu.

Pelajar yang enggan mendedahkan identitinya itu tidak menolak kemungkinan punca kes itu disebabkan pelajar terlibat memakan juadah soto dihidangkan di dewan makan.

"Sejak beberapa hari lalu, hanya beberapa pelajar mengalami keracunan makanan, namun malam tadi (semalam) ramai yang dikejarkan ke Hospital Taiping untuk mendapatkan rawatan.

"Kebanyakan rakan-rakan memaklumkan mereka mengalami keracunan makanan selepas memakan hidangan soto di dewan makan," katanya.

Dalam pada itu, Exco Kesihatan Negeri, A Sivanesan sewaktu dihubungi mengesahkan menerima laporan kes keracunan makanan melibatkan sebahagian pelajar MRSM Taiping pada pagi ini.

Menurutnya, proses penyiasatan dan langkah kawalan pencegahan penyakit itu masih giat dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri Perak melalui Pejabat Kesihatan Daerah Larut, Matang dan Selama.

"Setakat ini, maklumat mengenai jumlah sebenar pelajar terlibat kes keracunan dan punca kejadian masih belum diperolehi.

"Laporan awal kes ini akan disiapkan selewat-lewatnya hari ini.

"Apapun, pihak jabatan kesihatan memberi jaminan masalah kes keracunan makanan itu masih terkawal dan tidak serius,"katanya.

Sivanesan berkata, pihaknya turut dimaklumkan Jabatan Kesihatan Negeri Perak sudah mengambil sampel makanan dari dewan makan sekolah terbabit bagi mengetahui punca sebenar kes.