Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Hafiz Ariffin berkata anggota sukarelawan tersebut ditugaskan untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan membaiki fasiliti awam serta rumah kediaman di tiga kampung yang terjejas teruk iaitu Kampung Shukor, Kampung Pasir Raja dan Kampung Jongok Batu.
Beliau berkata selain aktiviti pembersihan, misi turut melibatkan penyerahan sumbangan dalam bentuk peralatan, makanan dan wang tunai kepada mangsa banjir yang terdiri daripada warga emas dan golongan miskin.
"Misi bantuan ini bukanlah yang pertama kerana kami dah turun padang membantu mangsa banjir di Kelantan, Johor...malah di Terengganu pun kami dah laksanakan ketika banjir akhir tahun lepas.
"Fokus kami ialah rumah kediaman dan tempat awam seperti surau, masjid dan sekolah yang terjejas dan disaluti lumpur tebal," katanya ketika ditemui pada Misi Bantuan Pascabanjir Negeri Terengganu di Kampung Shukor, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Hafiz berkata setakat ini terdapat 3,000 anggota Skuad Sabil yang aktif di seluruh negara dan pihaknya menyasarkan untuk menambah jumlah keanggotaan tahun ini bagi memperkasa dan memperluas khidmat bakti Skuad Sabil kepada masyarakat.
Untuk rekod, Skuad Sabil adalah badan beruniform di bawah Pergerakan Pemuda UMNO yang ditubuhkan pada 2019 dan dianggotai anak-anak muda UMNO Malaysia secara sukarela dalam melaksanakan aktiviti kebajikan dalam masyarakat.
Selain itu skuad tersebut juga bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa bagi membantu masyarakat ketika berlaku bencana atau musibah.
-- BERNAMA