30 orang pendaki yang dilaporkan hilang ketika mendaki Gunung Brik Kampung Trigus Bau pada pagi Sabtu telah berjaya dijumpai pada petang Isnin dan semua pendaki dalam keadaan selamat.

Komander operasi yang juga Timbalan Ketua Bomba Zon Kuching, Pegawai Kanan Bomba II Gregory Kurung Suwen berkata, kesemua pendaki berkenaan terkandas di gunung berkenaan selepas air di salah satu sungai yang dilalui naik tinggi dan tidak dapat dilalui lantas memaksa kumpulan berkenaan bermalam di kawasan berhampiran yang selamat.

Menurutnya lagi, kesemua pendaki tersebut selamat dan tidak mengalami kecederaan yang serius namun dua orang pendaki dilaporkan mengalami kecederaan ringan.

"Kita berasa bersyukur sebab semua mangsa pendaki gunung Brik Kampung Trigus Bau telah selamat dijumpai dan kesemuanya adalah 30 orang dan yang terahir kumpulan keluar adalah seramai lima orang, empat orang lelaki dan seorang perempuan," katanya ketika ditemui media selepas menamatkan operasi mencari dan menyelamat pada Isnin.

Ujarnya lagi, ekspedisi pendakian yang dianjurkan oleh sebuah kelab Aktiviti Lasak Kenyalang telah disertai seramai 30 orang pendaki ke Gunung Brik Kampung Trigus pada Sabtu namun gagal balik pada hari Ahad setelah terperangkap akibat arus deras dan paras sungai yang meningkat di kawasan berkenaan.

Antara agensi terlibat dalam operasi menyelamat termasuk dari Balai Bomba Pejabat Bau, Pasukan Khas JBPM, STORM dan MUST Team, Polis, Rela serta penduduk kampung.