MASYARAKAT telah beradaptasi dan selesa dengan dunia dalam talian untuk mencari solusi mengikut keperluan masing-masing. Mereka akan mencari maklumat dan mendapat idea awal mengenai masalah mereka. Namun, sifat maklumat dalam talian mungkin kurang memberikan solusi yang tepat mengikut isu mereka. Individu yang menghadapi masalah sahaja memahami situasi terdesaknya mereka yang terpaksa mencari jalan keluar. Oleh itu, kecenderungan untuk mencari pakar bagi memberi jawapan mengikut isu dan masalah, adalah kritikal dan sangat diperlukan dalam dunia hari ini.

Masalah

Konflik kehidupan yang berkaitan perundangan juga menjadi satu cabaran besar kepada orang awam. Inisiatif dan usaha untuk membantu masyarakat celik perundangan, sekali gus menyelesaikan isu mereka melalui platform dalam talian, mampu mengurangkan jurang ketidakadilan antara pihak-pihak yang berkonflik. Masalah besar kepada orang awam, terutama komuniti B40, adalah kos yang tinggi untuk mendapatkan nasihat, sehingga kepada khidmat guaman. Kefahaman bagaimana menyelesaikan isu adalah hal asas yang perlu diketahui.

Apa yang kita sediakan

Bagi membantu orang awam yang berhadapan dengan konflik perundangan, Klinik Guaman Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia menyediakan satu platform khidmat masyarakat yang memberikan konsultasi guaman dalam talian secara percuma, sama ada dalam perundangan sivil atau Syariah. Konsultasi guaman dalam talian ini dikenali sebagai e-konsultasi. Lebih ramai orang awam dapat dibantu, terutamanya di kalangan B40, yang mencari penyelesaian dalam kemelut isu perundangan. E-konsultasi membuka kefahaman orang ramai dari tidak tahu menjadi tahu, seterusnya memberi kefahaman bagaimana untuk bertindak. Maka ia akan mengurangkan ketidakadilan kerana kejahilan undang-undang.

Bagaimana kita bantu mereka?

Klinik Guaman mewujudkan i-nasehat sebagai platform temujanji untuk sesi 30 minit bersama peguam dalam undang-undang syariah dan sivil, bagi merungkai permasalahan mereka. Nasihat guaman oleh peguam bertauliah yang memberikan cadangan penyelesaian diharap menjadi solusi awal kepada orang awam untuk tindakan selanjutnya. Orang awam yang ingin dapatkan nasihat guaman percuma boleh akses https://i-nasehat.com. Platform ini akan meluaskan jaringan komuniti dan industri kepada universiti, untuk melestarikan khidmat masyarakat tanpa sempadan melalui digitalisasi konsultasi perundangan.

Result/Impak program

Hasilnya, platform ini menyelesaikan masalah literasi undang-undang kepada semua golongan, khususnya B40, selain mendatangkan idea dan solusi segera untuk menyelesaikan masalah perundangan yang dihadapi. 


* Dr Norsuhaida Che Musa adalah pensyarah kanan, Penyelaras Klinik Guaman Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (KGFSU)

** Muim Abdullah adalah peguam panel Klinik Guaman Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (KGFSU)

*** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.