LENGGONG: Seluas 3,000 hektar hutan simpan Perak dikesan telah diceroboh secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata pencerobohan itu memberi kesan terhadap kawasan berhutan di Perak yang seluas 1.01 juta hektar atau 48 peratus daripada 2.11 juta hektar keluasan tanah negeri.

Begitupun, beliau berkata, masalah itu sedang dan sudah ditangani Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNP) dengan lima kes sudah didakwa, manakala beberapa kes lain dalam siasatan.

Justeru katanya pelaksanaan visible enforcement oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak melalui operasi bersepadu sepanjang tahun ini berjaya menangani aktiviti penerokaan hutan secara haram di Perak.

Walau bagaimanapun beliau tidak menyatakan secara terperinci berkenaan hasil terkini daripada operasi tersebut.

“Setakat ini yang kita kesan, ada lebih kurang 3,000 hektar tanah hutan simpan yang telah diteroka, di sana sini seluruh negeri. Pertama, mereka menebang dan menebas kemudian menjual kayu secara haram.
 
“Yang kedua, mereka bercucuk tanam di atas tanah tersebut untuk tanah pertanian. Itu kita panggil penerokaan haram,” ujar beliau.

Saarani menegaskan aktiviti sebegitu perlu dihentikan serta-merta sebab terdapat peraturan-peraturan dan masa tertentu untuk membolehkan pengeluaran hasil kayu.

“Kalau tidak nanti, kalau semua orang tebang tanpa kawalan, datang musim hujan boleh menyebabkan banjir lumpur. Itu perlunya kawalan. Tapi setakat ini kita dah ada task force menangani masalah itu dan sebahagiannya telah diambil tindakan dan didenda,” jelas beliau.

Saarani berkata demikian kepada pemberita pada Program Penghijauan Malaysia: Tasik Raban, Lenggong sempena Kempen Penanaman 100 Juta Pokok Peringkat Negeri Perak di Dataran Tasik Raban, pada Sabtu.

Hadir sama, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Dalam perkembangan lain, Shamsul Anuar berkata di bawah kempen ‘Penghijauan Malaysia: Pokok Kita, Kehidupan Kita’, setakat ini Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (Ketsa) berjaya menanam lebih 5.8 juta pokok yang merangkumi lebih 515 spesies di seluruh negara.

Katanya daripada jumlah tersebut, sebanyak lebih 100,000  pokok daripada pelbagai spesies telah ditanam di Perak.