Pengguna tegar media sosial sentiasa peka dengan isu hangat yang sedang melanda.

Dari isu KimK tempatan hinggalah ke isu Kim K antarabangsa, semuanya menjadi topik bualan hangat di dalam group Whatsapp keluarga.

Satu isu yang kini asyik dibahaskan di Twitter mahupun Facebook adalah berkenaan #2Kerja.

MESTI BACA: #2Kerja: 'Lakukan dua kerja bukan sesuatu yang luar biasa'

Alam maya sekali lagi bergelora berikutan kenyataan seorang menteri yang memberi komen tentang rakyat yang terpaksa melakukan dua kerja bagi menambah pendapatan demi menampung kehidupan.

Menteri tersebut menyatakan beliau sendiri ada 3 kerja, tidak termasuk kerja memasak Nasi Goreng GST yang dihiasi timun di sekeliling kuali. Rasanya beliau salah faham antara maksud kerja dan jawatan.
Netizen menjadi berang bukan kerana kenyataan itu benar ataupun salah, tetapi kurang senang dengan nada yang disampaikan. Seolah-olah kenaikan kos sara hidup berpunca daripada diri sendiri, sekaligus rakyat yang terpaksa menanggung akibatnya.

MESTI BACA: NGO akan dijemput bersemuka Perdana Menteri luah tentang kos sara hidup


#2Kerja sepatutnya satu pilihan, dan bukannya menjadi satu keperluan untuk rakyat.

Contohnya, pilihan untuk mencari wang lebih dengan menjual kerepek pisang secara online untuk menampung perbelanjaan percutian ke Legoland, bukan kerana terpaksa disebabkan tidak mampu menanggung kos sara hidup.

Di saat-saat sebegini, rakan-rakan MLM kita pun akan turut mengambil kesempatan untuk memperdayakan kita dengan menawarkan jalan mudah untuk menjana wang sambil tidur.

Benar, dari sudut positif kita mungkin boleh hidup dengan lebih 'senang' jika kita membuat #2Kerja, tetapi bak kata pepatah Inggeris "Quality is more important than quantity".

Ada banyak kerja pun, tidak semestinya bagus. Semakin banyak kerja yang perlu diberi fokus, ada kemungkinan kualiti kerja akan terjejas.


Kita juga harus fikirkan tentang 'work life balance'.

Siang kerja jurutera, malam memandu Uber, maka bila waktunya untuk kita bermesra dengan kucing dan anak-anak? Balik rumah lewat, isteri pun ikut sama buat #2Kerja iaitu membebel dan membebel lagi. Dengan izin.
Saya sebagai seorang rakyat biasa seperti anda, sudah pasti turut terasa tempias kos sara hidup yang tinggi pada masa ini. Syukurlah kena tempias, ada orang yang tidak bernasib baik, kena simbah terus.


#2Kerja hanya mampu menangani simptom

#2Kerja bukanlah jawapan muktamad kepada isu pokok yang dihadapi rakyat di negara ini, iaitu peningkatan kos sara hidup yang tidak sepadan dengan kenaikan kadar gaji dan kuasa membeli.

MESTI TONTON: [VIDEO] Reaksi Cuepacs: Kadar gaji baharu hujung tahun 2015

Pendek kata, #2Kerja bukanlah penawar kepada masalah sebenar.

Saya boleh merungut tentang kenaikan kos sara hidup, namun hakikatnya, saya perlu menentukan hala tuju hidup sendiri. Lagipun, bukannya ada pilihan lain.

Sebagai penutup bicara, saya kongsikan bait lagu nasyid popular In Team sebagai pembakar semangat, "Bersabarlah sayang, saat indah kan menjelma jua..."


Faizal Rosly adalah seorang pemerhati media sosial dan juga peminat tegar Liverpool FC. Tweet @ijaicool atau ikuti blog beliau.

Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.