Aqsa Syarif akan menghantar bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza, membabitkan 26 sukarelawan.

Misi yang diberi nama ‘Aqsa to Gaza 2012’ akan membawa pelbagai barangan keperluan harian bernilai RM2.56 juta dan akan dibawa masuk melalui sempadan Rafah.

"Konvoi yang terdiri daripada 35 buah trak yang akan membawa muatan terdiri daripada bahan makanan, ubat-ubatan, pakaian sejuk, peralatan sekolah... kemudian beg sekolah, kelengkapan bahan-bahan binaan dan juga lampur solar sebanyak 6,000 unit," kata Pengerusi Aqsa Syarif Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Nor kepada wartawan.

Jelasnya lagi, pihaknya juga bekerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) di Mesir bagi tujuan berkenaan.

Bagi misi kali ini ia turut disertai 13 pelajar Malaysia dari luar negara termasuk Australia, Mesir dan United Kingdom.