Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 25 Julai ini untuk keputusan kes pencerobohan di Lahad Datu.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar yang mengendalikan pendakwaan kes itu berkata pada mulanya ia ditetapkan pada 20 Jun selepas hujahan kedua-dua pihak yang ditetapkan hari ini.

"Tetapi mahkamah baru sahaja memaklumkan kepada kami, hakim tidak dapat mendengar kes (hari ini) dan menangguhkan hujahan kes (ke 20 Jun).

"Penangguhan ini juga bermakna keputusan kes ditangguhkan ke tarikh lain," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sementara itu, peguam yang mewakili 16 tertuduh warganegara Filipina dalam kes itu, Datuk N. Sivananthan berkata mahkamah mungkin memerlukan dua hari untuk keputusan kes itu bergantung kepada jumlah tertuduh yang terlibat.

Kes itu yang didengar di hadapan Hakim Stephen Chung dijalankan di Jabatan Penjara Sabah di sini sejak 6 Jan 2014 membabitkan 30 individu - 27 warganegara Filipina dan tiga lelaki tempatan - terhadap pelbagai pertuduhan berkaitan pencerobohan bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada Februari 2013.

Pada 5 Feb lepas, Chung memerintahkan 19 daripada 30 tertuduh, termasuk tiga penduduk tempatan membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.