Susulan pemantauan selama lebih setahun, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya menumpaskan sindiket terbesar penyeludupan barang-barang di Lembah Klang, yang mengelak dari membayar duti kastam melibatkan lebih RM1 bilion.

Akibat tindakan itu kerajaan dipercayai mengalami kerugian lebih RM2 bilion.

Semalam, SPRM membuat tangkapan ke atas seramai 24 individu termasuk 12 pegawai Kastam pelbagai pangkat. Selebihnya merupakan 12 anggota sindiket dan mereka ditahan reman selama tujuh hari mulai hari ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdull berkata, pegawai-pegawai Kastam yang ditahan berusia antara 35 hingga 58 tahun dan salah seorang darinya adalah pengarah negeri.

Dua daripada mereka merupakan "Datuk".

kastam
Pegawai kastam dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya untuk tahanan reman.

“Hasil operasi besar-besaran ini, SPRM telah merampas dan menyita wang rasuah bernilai lebih kurang RM3 juta, 207 akaun bank milik individu dan syarikat dibekukan, 10 kenderaan mewah yang disyaki hasil wang rasuah, gudang arak dan rumah kedai. Nilai sebenar masih tidak dapat diperolehi,” kata beliau pada sidang media di sini, hari ini.

Kesemua mereka ditangkap di kawasan Lembah Klang dan Ipoh, Perak.

SPRM mengesyaki wujud elemen rasuah melibatkan pegawai-pegawai agensi penguat kuasa.

“Kes ini adalah tindakan pasukan petugas khas yang diketuai oleh Jabatan Peguam Negara yang mana anggota selain SPRM adalah Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Imigresen dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia,” kata beliau.

sita
10 kenderaan mewah yang disyaki hasil wang rasuah turut disita

Beliau tidak menolak kemungkinan akan ada lagi tangkapan susulan tindakan SPRM semalam.

Sindiket penyeludupan yang beroperasi bebas sejak beberapa tahun lalu dikesan menyalahgunakan kemudahan dan insentif yang disediakan oleh kerajaan di Zon Perdagangan Bebas, khususnya Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

“Arak dan rokok yang ditempatkan di PKFZ dan barang ini diseludup keluar tanpa membayar duti. Arak yang bermutu tinggi dibawa masuk dari China, Thailand, Scotland dan Sweden,” ujar beliau lagi.

Hasil risikan SPRM sejak akhir tahun 2013 berdasarkan data tiga tahun, dengan memberi fokus ke atas 10 syarikat yang mengimport arak dan rokok, mendapati barang-barang kawalan tersebut dibawa keluar untuk diedar untuk pasaran dalam negara dan ada juga dieksport ke beberapa negara jiran.

Terdapat lebih 70 syarikat yang menggunakan kemudahan PKFZ itu.

“Sebanyak RM1.67 bilion rokok dan arak dibawa masuk dan pengisytiharan yang dibuat adalah RM420 juta. Nilai yang tidak diisytihar dianggarkan RM1.25 bilion.

"Jumlah yang tidak diisytihar termasuk duti kastam, yang diseludup melibatkan kerugian kerajaan berjumlah RM2.5 bilion. Jika ia melibatkan lebih 300 peratus, cuma anda kira sendiri...," kata beliau lagi.

Beliau berkata, SPRM mendapat kerjasama daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia khususnya Ketua Pengarahnya dalam menjalankan operasi ini.

"Pihak SPRM juga telah mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia terutama Ketua Pengarah Kastam dalam melancarkan operasi ini," kata beliau.

Katanya, “SPRM akan bekerjasama dengan Kastam untuk membuat penilaian sebenar hasil yang patut kerajaan dapat.”

Siasatan dijalankan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan Akta Penggubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.

Sementara itu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM bagi menjalankan siasatan terhadap beberapa pegawainya yang dilapor ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan arak dan rokok.

Ketua Pengarahnya Datuk Khazali Ahmad berkata JKDM tidak akan melindungi sebarang maklumat mahupun pegawainya yang disyaki terlibat, meskipun pihaknya masih belum menerima laporan rasmi daripada SPRM berkaitan kes itu.

"JKDM rasa dukacita dengan apa yang berlaku dan berharap insiden itu tidak akan menjejaskan semangat seluruh pegawai dan kakitangan JKDM bagi melaksanakan tugas yang telah diamanahkan demi kesejahteraan rakyat dan negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.