Ringkasan AI
- Seramai 24 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga China diusir dari Sabah melalui penerbangan terus ke Guangzhou dari Lapangan Terbang Tawau.
- Hukuman dikenakan termasuk bayaran kompaun RM10,000 seorang bagi 20 orang, manakala baki empat orang dipindahkan balik kerana faktor usia.
- Sepanjang tahun 2024, Jabatan Imigresen Sabah telah memindahkan 6,873 PATI melalui darat, laut, dan udara.
Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sh Saleha Habib Yussof berkata, program pemindahan tahanan PATI kali ini melibatkan 24 tahanan lelaki berusia antara 31 tahun sehingga 64 tahun.
"Semua tahanan ini hanya melibatkan dari Depot Imigresen Tawau dan telah dihantar pulang melalui udara dengan penerbangan secara terus ke Guangzhou melalui Lapangan Terbang Tawau.
"Hukuman yang dikenakan terhadap 24 PATI ini adalah berdasarkan proses perundangan negara iaitu seramai 20 orang telah dikenakan hukuman bayaran kompaun sebanyak RM10,000 seorang dan dipindahkan balik ke negara asal atau diusir.
"Manakala baki empat orang hanya tindakan jabatan iaitu dipindahkan balik ke negara asal sahaja kerana mengambil kira faktor usia PATI yang telah lanjut," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Katanya lagi, kesemua PATI yang dipindahkan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
"Ini menjadikan seramai 34 tahanan warga China telah dipindahkan sepanjang tahun 2024 dan statistik keseluruhan pemindahan warga asing yang melibatkan pengangkutan udara sahaja adalah seramai 256 orang.
"Berdasarkan rekod sehingga 30 Oktober 2024, Jabatan Imigresen Sabah telah berjaya melaksanakan penghantaran pulang tahanan depot dari seluruh negeri sebanyak 98 kali melibatkan pemindahan melalui darat, laut dan udara.
"Jumlah keseluruhan PATI seramai 6,873 orang yang terdiri daripada 4,925 lelaki dewasa, 1,159 perempuan dewasa, 450 kanak-kanak lelaki dan 339 kanak-kanak perempuan," katanya.
Jelas beliau lagi, hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar ke negara asal dikenakan.
"Kekerapan program pemindahan tahanan yang dilaksanakan oleh Imigresen Malaysia juga adalah tertakluk dengan kerjasama dan komitmen daripada pihak kedutaan masing-masing bagi mengelakkan tahanan terbabit ditahan lebih lama di depot-depot imigresen," katanya.
Sehubungan itu, Sh Saleha mengingatkan semua majikan yang menggaji pekerja asing supaya memastikan semua pekerja yang masuk mempunyai Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sesuai untuk bekerja di Sabah.
"Selain itu, semua individu yang memegang Pas Lawatan Sosial (PLS) bagi tujuan melancong tidak menyalah guna pas untuk tujuan lain atau tinggal lebih masa dari tempoh yang dibenarkan yang boleh menyebabkan mereka didakwa dan disenarai hitam untuk masuk semula ke negara ini.
"Sekiranya melanggar syarat-syarat pas yang ditetapkan Imigresen Malaysia akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pemindahan PATI selaras dengan dasar serta perundangan yang berkuat kuasa," katanya. -Sinar Harian