Sebanyak 22,311 daripada keseluruhan 22,320 jemaah haji Malaysia berada di sini untuk berwukuf pada Jumaat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengesahkan seorang lagi jemaah lelaki Malaysia meninggal dunia semalam kerana kanser hati pada 1.15 tengah hari, setelah masuk waktu wukuf.
Dengan ini, jumlah jemaah haji Malaysia yang meninggal di Tanah Suci tujuh orang.

Dua jemaah haji Malaysia yang koma di hospital Arab Saudi tidak dapat dibawa ke Arafah untuk berwukuf.

"Tiga lagi jemaah dibawa ke Arafah menaiki ambulans," kata Jamil Khir kepada media Malaysia selepas menyampaikan kutbah Arafah di sini tengah hari semalam, sebaik masuk waktu wukuf.

Waktu wukuf bermula dengan tergelincirnya matahari iaitu masuknya waktu Zohor Jumaat dan berakhir sebelum terbitnya matahari, iaitu sebelum masuk waktu Subuh Sabtu.

Jamil Khir berkata jemaah haji bergerak secara berperingkat dari pukul 6 petang untuk bermabit di Muzdalifah, dan kesemua jemaah dijangka tiba di Muzdalifah sebelum 10 malam Jumaat.

"Jemaah Malaysia dijangka berada di Muzdalifah sehingga 11.45 malam sebelum bergerak ke Mina (untuk melontar jamarat)," katanya.

LIHAT GALERI FOTO WUKUF DI PADANG ARAFAH

Wukuf

Jemaah akan berada di Mina awal pagi Sabtu hingga Selasa untuk melontar di ketiga-tiga jamarat sebelum berangkat balik ke Makkah untuk tawaf dan saie. Jemaah haji dijangka berlepas pulang mulai 10 Okt ini.

Menyentuh mengenai pergerakan jemaah haji kali ini, Jamil Khir berkata pembaharuan yang dilakukan oleh kerajaan Arab Saudi telah banyak membantu bagi memastikan pergerakan jemaah haji berjalan lancar.

Beliau berkata walaupun lebih empat juta jemaah haji berwukuf di Arafah, pergerakan pengangkutan berjalan lancar.

"Nampak terkawal dan dijalankan dengan baik," kata Jamil Khir.

Beliau berkata ini turut disahkan oleh Pengerusi Muassasah Asia Tenggara Tan Sri Sheikh Zuhair Abdul Hamed Sedayu yang mengatakan kerajaan Arab Saudi melakukan pelbagai perubahan dalam pengendalian jemaah haji terutama dari segi pengangkutan tahun ini.