Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, bilik gerakan operasi bencana negeri menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira jam 10.28 pagi.
Pihaknya kemudian menghantar sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang ke lokasi kejadian untuk tindakan lanjut.
"Sampai di lokasi mendapati empat rumah dan sebuah Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) telah terjejas banjir.
"Bomba telah mengarahkan penghuni rumah untuk pindah ke balai penghulu, manakala 21 pelajar Tabika Kemas telah diserahkan kepada ibu bapa masing-masing," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tambahnya, turut terdapat empat guru di premis tabika berkenaan dan pemantauan pihak bomba di lokasi mendapati situasi air menurun.
Terdahulu tular video di media sosial menunjukkan sebilangan besar murid tabika berkenaan berdiri di atas meja dalam sebuah tabika dikatakan terletak di Klang Gate, Hulu Klang selepas premis itu dinaiki air akibat hujan lebat pagi tadi.