Zunar, yang ditemui pemberita selepas majlis pelancaran pameran itu oleh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, menzahirkan rasa gembira kerana akhirnya hasil karya beliau diketengahkan dalam satu pameran besar di Pulau Pinang.
"Akhirnya selepas insiden 2016 di Komtar (hasil lukisan Zunar dikeluarkan dari pameran ketika itu) , kini kembali membuat pameran. Ini adalah satu pameran yang sangat istimewa dengan warna istimewa dan pertama kali pameran diadakan sebesar ini dengan mempamerkan 202 karya," katanya.
Beliau berkata kartunis sebenarnya mempunyai peranan besar dalam masyarakat dan unsur jenaka merupakan senjata berkesan untuk digunakan bagi memprotes sebarang isu yang tidak betul.
Terdahulu Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson dilihat sebak semasa menyampaikan ucapan ketika melihatkan hasil karya Zunar yang dipamerkan itu.
"Saya sebak dan rasa agak sentimental sedikit bila melihat karya Zunar dan bercakap kisah-kisah lalu yang kami rasai dan derita yang turut ditanggung Zunar. Saya dapat rasai derita yang beliau tanggung melalui lukisan ini, dan ini juga membuktikan peranan pelukis dan kartunis kepada negara. Zunar berhati mulia dan ikhlas," katanya.
Anwar berkata pameran karya berkenaan turut mengingatkannya kepada 'penderitaan' yang dilaluinya ketika zaman pentadbiran Barisan Nasional.
Dalam pada itu, Anwar turut menyarankan semua balai seni lukis di setiap negeri mempamerkan karya seni kartunis Zunar.
"Zunar seorang pelukis yang mempunyai kepekaan politik mendalam terhadap isu berkaitan dengan rakyat. Pemilihan kata, pemahaman rasa dan denyut nadi rakyat digabungkan dalam satu hasil karya seni oleh Zunar. Ini sebab mengapa karya Zunar popular," katanya. -- Bernama