SUNGAI BULOH: Sejumlah 2,940 kuarters Jabatan Penjara di seluruh negara dibaik pulih melibatkan peruntukan sebanyak RM41 juta, kata Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pengurusan) Jabatan Penjara Malaysia Abd Kadir Rais.

Beliau berkata Jabatan Penjara berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyalurkan peruntukan itu bagi tujuan penyelenggaraan dan naik taraf infrastruktur jabatan berkenaan pada Julai lepas.

"Saya percaya dengan penambahbaikan kuarters ini akan memberikan suntikan semangat kepada petugas Jabatan Penjara untuk bertugas dalam keadaan yang lebih kondusif dan hasil ini semua akan memberikan kesan kepada kualiti kerja yang bagus," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan kunci kuarters kakitangan fasa 1 di Penjara Sungai Buloh, di sini hari ini.

Abd Kadir berkata secara keseluruhan sebanyak 102 projek penambahbaikan kuarters Jabatan Penjara di seluruh negara dilaksanakan menggunakan peruntukan itu.

"Sebanyak 10 projek telah siap 100 peratus iaitu masing-masing dua projek di Penjara Taiping dan Pusat Koreksional Labuan manakala satu projek di Pusat Koreksional Kemunting dan Penjara Sungai Buloh.

"Selain itu, satu projek di Pusat Pemulihan Akhlak Muar; Penjara Penor di Kuantan; Sekolah Henry Gurney Keningau dan Sekolah Henry Gurney Telok Mas," katanya.

Abd Kadir berkata sebanyak 45 projek lagi telah mencapai kemajuan melebihi 50 peratus siap manakala 31 projek belum mencecah 50 peratus siap dan selebihnya akan dimulakan dalam masa terdekat.

-- BERNAMA