Sebanyak 2,001 aduan kes jenayah siber termasuk penipuan pembelian dalam talian diterima Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) sejak tahun 2008.

Menurut Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari, daripada jumlah itu, 391 aduan pengguna dicatatkan bagi tempoh Januari 2014 hingga 2016.

"Sejak 2008 hingga 2013, sebanyak 1,610 aduan jenayah siber termasuk pembelian dalam talian berlaku," katanya semasa menjawab soalan Ahli Parlimen Silam, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Kesemua aduan berkenaan telah dikemukakan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 untuk tindakan lanjut.

"Kerajaan telah menggubal Dasar Pengguna Negara dan Pelan Induk Pengguna bagi mewujudkan kawal selia pada pengguna.

"Bertitik tolak daripada itu, kerajaan telah menggubal Akta Perlindungan Pengguna yang dikuatkuasakan oleh KPDNKK pada 1999," katanya lagi.

Ketika ini, ujarnya, terdapat kira-kira 20 juta pengguna internet di Malaysia.

"Mereka yang aktif menggunakan laman Facebook adalah 41 peratus daripada pengguna internet," tambahnya.