Tidak ada lagi perkara berkaitan syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disembunyikan apabila ia telah dijelaskan secara terperinci menerusi siasatan yang dilakukan oleh badan berkuasa di negara ini.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak, kerajaan Malaysia telah menjalankan tugas dengan memberi penerangan dalam menangani isu 1MDB ini.

"Kita benarkan sesiapa sahaja memberi pandangan peribadi mereka. Tun Dr Mahathir Mohamad dan pembangkang juga ada pandangan mereka sendiri.

"Bagi saya, untuk berlaku adil, biarlah mereka (DOJ) melakukan siasatan mengikut lunas perundangan negara mereka," katanya.

Beliau turut menegaskan tidak wujud konspirasi peringkat antarabangsa menentang Malaysia dan kepimpinan negara.

"Itu bukanlah konspirasi. Mereka (DOJ) menjalankan kerja mereka berdasarkan laporan yang dibuat.

"Mereka mengendalikannya (siasatan) berdasarkan undang-undang dan peraturan di negara tersebut," katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Konvensyen Persatuan Komunikasi Pasifik Dan Asia (PACA) 2016 di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.

Dalam kenyataan pada Khamis, Salleh berkata dakwaan DOJ ke atas 1MDB ialah bermotifkan politik selain dilihat sebagai usaha menjatuhkan ketua yang dipilih secara demokrasi.

Beliau mahu dakwaan ke atas 1MDB diteliti dan perlu mengikut proses undang-undang.

Katanya, tiada yang bersalah selagi ia tidak dibuktikan di mahkamah.

Menurut satu kenyataan 1MDB hari ini, menafikan ia adalah pihak yang berdepan dengan saman sivil oleh kerajaan Amerika Syarikat.

Syarikat tersebut menegaskan ia tidak mempunyai aset di Amerika atau mendapat manfaat daripada pelbagai transaksi seperti yang digambarkan menerusi saman sivil berkenaan.

BACA: 1MDB: PAS desak penubuhan Suruhanjaya Diraja

1MDB menambah sehingga kini ia tidak dihubungi DOJ atau mana-mana agensi asing berhubung siasatan mereka.