Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Labuan telah menetapkan harga maksimum 18 barangan terkawal untuk 15 hari bermula 8 hingga 22 Jun, menerusi Skim Kawalan Harga Musim Perayaan bersempena sambutan Aidilfitri.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya Mohd Fikri Lai Abdullah berkata skim itu akan dilaksanakan selaras dengan Akta Kawalan Harga dan AntiPencatutan 2011 ketika musim perayaan.

Aidilfitri dijangka disambut pada 15 Jun (1 Syawal).

Beliau berkata antara barangan tersebut ialah ayam, ayam standard, ayam super, daging lembu tempatan, daging kerbau import, telur ayam gred A, B dan C, cili merah, tomato, bawang putih China, bawang besar, kelapa serta ikan kembung dan ikan selayang.

Fikri memberi amaran kepada peniaga bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim, termasuk denda hingga RM100,000 dan penjara bagi individu serta denda hingga RM500,000 untuk syarikat.

Beliau berkata pegawai penguat kuasa daripada kementerian akan ditugaskan untuk memantau keadaan semasa.

-- BERNAMA