Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, jumlah itu susulan 1,869 pegawai dan anggota dikenakan tindakan tatatertib.
"Tahun lalu merekodkan 1,238 pegawai dan anggota dikenakan tindakan tatatertib dan daripada jumlah itu, seramai 139 orang telah dibuang kerja.
"Bagi tahun ini pula setakat Julai merekodkan 631 pegawai dan anggota dikenakan tindakan tatatertib dengan 36 daripadanya dibuang kerja," katanya dalam sidang akhbar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini pada Sabtu.
Ayob Khan sebelum itu hadir menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor Sukarelawan Siswa Siswi Universiti Awam ke-20.
Turut hadir Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad serta Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.
Mengulas lanjut, tegas Ayob Khan, berdasarkan statistik itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) konsisten dan berterusan mengambil tindakan serta tidak bertolak ansur terhadap pegawai dan anggota yang terlibat salah laku.
Katanya, antara salah laku yang dikesan seperti pemerasan serta terlibat dengan sindiket dadah.
"Sewaktu saya di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), ada beberapa pegawai termasuk ketua jabatan narkotik berpangkat Superintenden sebuah negeri di Pantai Timur dibuang kerja," ujarnya.
Jelas Ayob Khan, banyak langkah diambil PDRM dalam usaha menangani isu salah laku seperti ikrar bebas rasuah, audit kewangan, pemantauan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) serta profiling.
"Berdasarkan statistik bagi tindakan di bawah Peraturan 3C Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, ada 50 kes direkodkan," ujarnya. -- Sinar Harian